Saturday, July 12, 2025
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mexico julang Piala Emas CONCACAF kali ke-10

    HOUSTON, 7 JULAI – Mexico mengekalkan kejuaraan Piala Emas CONCACAF selepas menewaskan Amerika Syarikat (AS) 2-1 dalam final hari ini, sekali gus merangkul gelaran buat kali ke-10 – rekod tertinggi dalam sejarah kejohanan itu.

    Gol kemenangan menerusi tandukan kapten Edson Alvarez pada minit ke-77 melengkapkan kebangkitan dramatik selepas ketinggalan awal dalam perlawanan sengit mempertemukan dua kuasa besar bola sepak Amerika Utara di Stadium NRG, Houston yang dibanjiri hampir 71,000 penyokong.

    Kemenangan itu dianggap layak untuk Mexico yang menguasai sebahagian besar permainan menentang skuad muda AS bimbingan Mauricio Pochettino, yang turun ke kejohanan tanpa beberapa pemain utama mereka.

    Gol Alvarez turut menjadi detik istimewa buat pemain tengah West Ham itu, yang kembali ke Houston dengan penuh emosi selepas mengalami kecederaan dan keluar padang sambil menangis di venue sama dalam perlawanan pembukaan Mexico di Copa America tahun lalu.

    “Ia saat yang benar-benar menyentuh hati saya,” kata Alvarez selepas perlawanan.

    Mexico berjaya mempertahankan kejuaraan Piala Emas CONCACAF dengan menewaskan AS. – AFP

    “Sejak tiba di Houston, saya tidak henti-henti teringat semula kekecewaan itu. Saya hanya berdoa untuk diberi satu lagi kegembiraan.”

    AS bermula cemerlang apabila pemain pertahanan tengah, Chris Richards menanduk masuk gol pembukaan pada minit ke-4 di hadapan hampir 71,000 penyokong di Stadium NRG.

    Sepakan percuma yang cantik oleh Sebastian Berhalter mencetus kekeliruan di benteng perta-hanan Mexico sebelum Richards, pemain Crystal Palace, meluru dan menanduk bola deras ke palang dan melintasi garisan gol.

    Namun itu merupakan satu-satunya peluang terbaik AS dalam babak pertama yang banyak dikuasai oleh Mexico.

    Bintang muda Mexico berusia 16 tahun, Gilberto Mora, hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-24 dengan rembatan melengkung, tetapi berjaya diselamatkan oleh penjaga gol AS, Matt Freese.

    Tiga minit kemudian, Mexico menyamakan kedudukan.

    Marcel Ruiz melorongkan hantaran cantik kepada penyerang veteran Raul Jimenez, yang melepaskan rembatan padu ke penjuru atas gawang.

    Jimenez meraikan jaringannya dengan mempamerkan jersi tertera nama dan nombor 20 bekas rakan sepasukannya di Wolverhampton Wanderers, Diogo Jota, bintang Liverpool dan Portugal yang meninggal dunia dalam nahas jalan raya di Sepanyol minggu lalu.

    “Dia adalah rakan sepasukan yang hebat ketika saya bersama Wolves selama dua tahun,” kata Jimenez.

    “Kami sering berhubung, berkongsi banyak detik indah dan sama-sama memainkan peranan penting dalam kejayaan Wolves ketika itu.

    “Sukar bila mendengar berita seseorang yang rapat dan seorang sahabat sejati.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda