Monday, March 31, 2025
25.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mexico, Kanada, ujian untuk Pandelela ke Beijing

    KUALA LUMPUR, 27 MAC – Pengarah teknikal terjun negara yang baharu, Yeoh Ken Nee berharap Datuk Pandelela Rinong boleh memulakan musim ini penuh bergaya dengan melayakkan diri ke Final Piala Dunia Terjun 2025 di Beijing pada Mei.

    Beliau berkata Pandelela, yang kali terakhir beraksi secara kompetitif pada Terbuka Malaysia 2024 November lepas, perlu menamatkan pertandingan dalam kalangan 12 terbaik menerusi acara platform 10 meter wanita di Guadalajara, Mexico pada 3-6 April ini dan Windsor, Kanada (10-13 April), untuk layak ke final di Beijing (2-4 Mei).

    “Saya harap Pandelela boleh beraksi dengan baik dan layak ke Beijing. Beliau telah mengekalkan tahap prestasinya dan setakat ini nampak baik.

    “Penting untuk beliau ke Beijing kerana ia pastinya akan membantunya membina semula reputasi,” katanya kepada Bernama. 

    Tahun lepas, pemenang dua pingat Olimpik itu mengharungi musim kurang baik setelah terlepas Olimpik Paris 2024 susulan persembahan mengecewakan pada Kejohanan Akuatik Dunia 2024 di Doha. 

    Ken Nee berkata atlet berusia 32 tahun itu akan ditemani Enrique Maccartney Harold di Guadalajara namun Enrique tidak akan ke Windsor kerana masalah visa. 

    Susulan itu, Ken Nee memberi cabaran kepada atlet Sarawak itu supaya membuktikan keupayaannya dengan berjuang bagi mendapatkan tempat dalam final 10m platform lelaki.

    Meskipun beraksi dengan baik dalam negara, Ken Nee berkata Enrique masih belum mempamerkan kejayaan yang sama pada pentas antarabangsa. – Bernama

    Pandelela Rinong, menunjukkan pingat emasnya selepas final platform 10m wanita di Piala Dunia Terjun FINA dan acara ujian untuk Sukan Olimpik Tokyo 2020, di Pusat Akuatik Tokyo pada 5 Mei 2021. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda