BANDARAYA MEXICO, 29 Sept – Sektor awam dan swasta di Mexico, kelmarin, melancarkan laman web khas untuk membolehkan bantuan kepada mangsa gempa bumi disalurkan, lapor agensi berita China Xinhua.
Dikenali Sinergia 19 de Septiembre (www.s19s.org), laman web itu satu inisiatif bersama bagi membantu keluarga mangsa dan golongan pengusaha industri kecil dan sederhana yang terjejas akibat bencana berkenaan.
Waris mangsa serta pengusaha yang terjejas perlu mendaftar di laman web berkenaan untuk permohonan mereka dinilai.
“Mereka yang berminat menerima bantuan perlu mendaftar dan menyatakan bentuk bantuan yang diperlukan,” menurut kenyataan kumpulan yang mengendalikan laman web berkenaan.
Selain itu, laman web juga akan berfungsi sebagai bank pekerjaan untuk memudahkan mereka yang kehilangan sumber pendapatan mencari pekerjaan baharu.
Gempa bumi berukuran 7.1 magnitud yang melanda tengah Mexico pada 19 September lepas mengorbankan kira-kira 344 orang manakala gempa 8.2 magnitud melanda selatan Mexico pada 7 September pula menyebabkan hampir 100 orang di negeri Oaxaca dan Chiapas terbunuh. – Bernama