PHOENIX, 25 JULAI – Mexico melangkah satu tapak untuk mempertahankan kejuaraan CONCACAF Gold Cup kelmarin, selepas menjaringkan tiga gol pada separuh masa pertama untuk menundukkan Honduras di perlawanan suku akhir.
Pasukan juara bertahan berjaya menewaskan skuad Honduras yang kehilangan beberapa orang pemain disebabkan kecederaan dan protokol keselamatan COVID-19.
Penyerang Mexico, Rogelio Funes Mori membuka jaringan menerusi tandukan pada minit ke-26 untuk pasukan Mexico, yang bakal bertemu sama ada Kanada atau Costa Rica di pusingan seterusnya.
Jonathan Dos Santos dan Orbelin Pineda kemudian menjaringkan gol untuk membawa pulang kemenangan di stadium State Farm di Phoenix, Arizona. Dos Santos menghukum kesilapan pertahanan Honduras dengan membuat sepakan voli untuk menjaringkan gol pada minit ke-31.
Pineda berjaya menyambut bola hantaran lintang dari rakan sepasukan, Jesus Corona lalu menanduk masuk untuk meletakkan pasukan Mexico di kedudukan selesa pada separuh masa pertama dan menguasai perlawanan sesudah itu.

Dalam perlawanan berasingan, Al Moez berjaya menyumbat dua gol ketika Qatar menjadi pasukan pertama yang mara ke pusingan separuh akhir, selepas membenam El Salvador 3-2.
Abdelaziz Hatim turut mencatat nama selaku penjaring buat pasukan juara bertahan Asia di pertemuan suku akhir di Arizona.
Joaquin Rivas meledak dua gol untuk El Salvador, yang cuba mengejar perlawanan pada separuh masa kedua.
Ali berjaya menjaringkan gol pada minit kedua selepas mengambil kesilapan perta-hanan El Salvador. Enam minit kemudian, Hatim membuat rembatan melalui sepakan kaki kanan lalu melepasi gawang untuk menjadikan kedudukan 2-0.
Pemain El Salvador dipersalahkan kerana menyentuh bola pada minit ke-55, lantas Ali berjaya menjaringkan gol kedua melalui sepakan penalti untuk meletakkan Qatar di hadapan dengan tiga gol. – AFP