BANDAR MEXICO, 15 Ogos – Mexico bimbang situasi paling teruk apabila Donald Trump dipilih tetapi sembilan bulan kemudian, ia mengadakan rundingan dengan perasaan optimistik tentang versi baru perjanjian perdagangan yang penting dengan AS dan Kanada.
Sejak menjadi presiden, Trump telah mengurangkan retoriknya ke atas Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (NAFTA), perjanjian 1994 yang membantu mengubah Mexico menjadi pengeksport utama tetapi yang dianggap “membawa kecelakaan” kepada pekerjaan Amerika.
Kini Mexico, dengan eksportnya telah bertambah empat kali ganda dalam tempoh 23 tahun lalu – berani menaruh harapan untuk menjalin hubungan perdagangan lebih mendalam dengan negara jiran utara tatkala perundingnya berkunjung ke Washington untuk rundingan mengenai mengemaskini perjanjian, yang bermula esok.
“Anda tidak kerugian apa-apa dengan bertanya. Kami berusaha membatalkan tariff dalam beberapa kategori yang tinggal,” kata Ana Riquelme, ketua kumpulan yang mewakili industri peralatan perubatan Mexico.
Agenda perdagangan bebas sedemikian tidak dapat difikirkan pada November, apabila Trump mengejutkan golongan cerdik pandai dengan memenangi pilihan raya AS selepas kempen sengit di mana beliau berjanji akan membatalkan NAFTA dan menuduh Mexico dan rakyatnya mencuri pekerjaan Amerika.

Namun Trump memilih pada Mei untuk berunding semula dan bukannya membatalkan perjanjian itu dan kecamannya ke atas perjanjian telah berkurangan. Kini, Riquelme berkata industri Mexico berharap dapat mengekal segalanya dalam keadaan yang sama.
Pandangan yang positif berkenaan dikongsi oleh Juan Pablo Castanon, presiden Majlis Penyelaras Perniagaan (CCE) Mexico.
Reaksinya terhadap kemenangan Trump adalah untuk melancarkan pangkalan data AS dan syarikat antarabangsa yang bergantung pada NAFTA dan melobi mereka.
Beliau percaya ia telah mendatangkan kejayaan. Beliau berharap untuk mencapai satu perjanjian baru yang “mendorong kepada hubungan yang lebih mendalam dari segi mencari sinergi dan dasar untuk menjadikan Amerika Utara lebih kompetitif.”
Kerajaan Mexico telah bersikap was-was untuk mengelak pertengkaran yang sama, membalas kemarahan Trump mengenai kehilangan pekerjaan warga Amerika dan defisit dagangan dengan rundingan mengenai “daya saing Amerika Utara.” – AFP