Saturday, March 15, 2025
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mexico pertimbang larangan membunuh dalam pertandingan lembu

    MEXICO CITY, 14 MAC – Datuk Bandar Mexico City, tempat gelanggang lembu jantan terbesar di dunia, kelmarin mencadangkan larangan terhadap pertandingan lembu yang melibatkan kecederaan atau pembunuhan haiwan tersebut.

    Clara Brugada berkata bahawa pemilik perniagaan dan penganjur telah bersetuju untuk beralih kepada acara pertandingan lembu ‘tanpa keganasan’.

    “Ibu kota Mexico tidak boleh membenarkan kekejaman dijadikan tontonan, apatah lagi membiarkan haiwan mengalami kesakitan yang berpanjangan dan kematian demi hiburan,” katanya.

    Cadangan larangan itu dijangka dibahaskan dalam badan perundangan bandar itu dan akan selaras dengan reformasi perlembagaan yang diluluskan pada Disember lalu bagi melarang penderaan haiwan, tambah Brugada.

    Mexico City merupakan pusat utama pertarungan lembu dan menempatkan Plaza de Toros, gelanggang terbesar dunia yang mampu memuatkan lebih 40,000 penonton.

    Namun, sebagai kubu kuat gerakan progresif, ibu kota itu telah menyaksikan perbalahan undang-undang selama bertahun-tahun antara penganjur pertandingan lembu dan aktivis hak asasi haiwan yang mahu aktiviti itu diharamkan.

    Setakat ini, hanya beberapa daripada 32 negeri di Mexico telah melarang amalan yang diperkenalkan oleh penjajah Sepanyol berabad-abad lalu. – AFP

    Gambar menunjukkan lembu jantan dibunuh dengan pedang semasa pertandingan lembu jantan di gelanggang lembu Plaza Mexico, pada 5 Februari 2022. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda