MEXICO CITY, 8 Nov – Pembinaan semula di tengah dan selatan Mexico ekoran dua gempa bumi teruk pada September yang membunuh 465 orang memerlukan pelaburan berjumlah AS$2.5 bilion, umum Presiden Enrique Pena Nieto semalam.
Bercakap pada satu majlis awam, presiden berkata gempa bumi merosakkan sebahagian atau sepenuhnya 184,000 rumah, sementara 14,000 perniagaan dan 16,000 sekolah juga terjejas.
Ia adalah “satu pembinaan semula yang dianggarkan oleh kerajaan akan memerlukan pelaburan sebanyak 48 bilion peso. Satu persepuluh di antara sumber berkenaan akan diperuntukkan oleh sektor swasta,” kata beliau.
Semalam menandakan dua bulan sejak satu gempa bumi dengan magnitud 8.2 – paling kuat di Mexico dalam satu abad – melanda negeri Chiapas dan Oaxaca, mengakibatkan 96 orang terkorban.

Pada 19 September, ulang tahun ke-32 gempa bumi teruk yang membunuh lebih daripada 10,000 orang pada 1985, Bandar Mexico mengalami satu lagi gempa bumi, kali ini dengan magnitud 7.1, meninggalkan 369 orang terbunuh.
Gempa bumi mengakibat kerosakan meluas kepada aset seperti jalan raya, hospital dan tapak warisan budaya.
Pena Nieto berkata kebanyakan sumber untuk pembinaan semula akan datang daripada tabung awam. Sumbangan peribadi tidak akan dikendali oleh kerajaan, yang sebaliknya akan menyelaras mereka demi mengelak daripada meniru projek pembinaan semula. – AFP