MEXICO CITY, 8 JULAI – Pihak berkuasa Mexico merampas kira-kira 4 juta gelen diesel, petrol dan bahan sulingan petroleum yang dicuri dari dua kereta api tangki yang terbiar berhampiran sempadan Texas, kelmarin.
Menurut Setiausaha Keselamatan Mexico, Omar Garcia Harfuch, dua kereta api itu ditemui di sekitar bandar Ramos Arizpe dan Saltillo, dalam negeri Coahuila. Dalam kenyataan menerusi platform X kelmarin, beliau tidak mengulas lanjut tentang dari mana bahan api itu datang, atau kaitannya dengan penahanan 32 individu susulan sindiket pencurian bahan api minggu lalu.
Mexico telah lama bergelut dengan masalah kecurian bahan api daripada syarikat petroleum milik negara, Pemex selama bertahun-tahun. Baru-baru ini, terdapat juga kes bahan api yang diimport secara haram ke Mexico oleh jenayah terancang untuk dijual tanpa membayar duti import.
Menurut kenyataan kewangan Pemex, antara tahun 2019 hingga 2024, syarikat itu mencatat kerugian hampir AS$3.8 bilion akibat kecurian bahan api yang dikenali sebagai ‘huachicol’.
Sindiket berkenaan dipercayai memaksa stesen minyak membeli bahan api curi atau menjualnya terus di jalanan. Malah, pihak berkuasa Amerika Syarikat pernah menuduh kartel Jalisco New Generation mengendalikan stesen minyak mereka sendiri.
Rampasan itu disifatkan sebagai yang terbesar setakat ini di bawah pentadbiran Presiden Claudia Sheinbaum, kata Garcia Harfuch.
Dalam kedua-dua insiden, gerabak kereta api tersebut ditinggalkan tanpa sebarang dokumen rasmi berkaitan pemilikan atau destinasi penghantaran bahan api itu.
Pada Mac lalu, pihak berkuasa turut merampas sebuah kapal yang membawa kira-kira 9.8 juta liter bahan api di pelabuhan Tampico, negeri sempadan utara Tamaulipas. – AP
