MEXICO CITY, 8 JULAI – Mexico kelmarin menyambung semula eksport lembu hidup ke Amerika Syarikat (AS) selepas Washington mula menarik semula sekatan hampir dua bulan yang dikenakan berikutan wabak serangga perosak, lalat cacing skru (screwworm fly).
Sekatan yang diumumkan pada 11 Mei lalu oleh pentadbiran Presiden Donald Trump melibatkan larangan import lembu, kuda dan bison dari sempadan selatan AS kerana bimbang jangkitan larva lalat berkenaan yang mampu memakan daging haiwan dan membawa maut.
Setiausaha Pertanian Mexico, Julio Berdegue, memaklumkan menerusi hantaran di platform X bahawa kumpulan pertama kira-kira 900 ekor lembu telah melintasi sempadan dari Agua Prieta, negeri Sonora ke Douglas, Arizona – menjadi lintasan sempadan pertama yang dibuka semula bagi perdagangan ternakan.
Menurut beliau, pemulihan eksport itu adalah hasil kerjasama erat antara kedua-dua negara dalam menangani wabak cacing skru , termasuk pemantauan serta usaha pembasmian lebih ketat.
Pada Mei lalu, Setiausaha Pertanian AS, Brooke Rollins, menyatakan bahawa sekatan akan ditarik balik secara berperingkat “apabila terdapat peningkatan dalam pengawasan serta kejayaan usaha pembasmian.”
Mexico sebelum ini mengeksport lebih sejuta ekor lembu ke AS pada 2024, namun pernah mengalami gangguan ringkas atas sebab yang sama.
Ketegangan itu turut berlaku ketika hubungan diplomatik antara kedua-dua negara terjejas berikutan dasar imigresen ketat dan tarif perdagangan dikenakan oleh pentadbiran Trump. – AFP
