SAINT PETERSBURG, 1 Julai – Mexico tidak mempunyai sejarah dalam menyingkirkan Brazil dari Piala Dunia tetapi El Tri versi 2018 ini telah membuktikan kebolehan untuk mencipta kejutan di Rusia.
Mexico telah mara ke peringkat 16 buat kali ketujuh dalam Piala Dunia tetapi apa yang menyedihkan, mereka gagal untuk mara ke peringkat seterusnya dalam enam kejohanan sebelum ini sekali gus menjadikan ‘quinto partido’ (perlawanan kelima) sebagai satu obsesi.
“Tidak ada detik yang menarik berbanding mencipta sejarah dalam perlawanan kelima,” kata kapten Mexico, Andres Guardado. “Kami memiliki pemain yang berbeza dari segi mental tetapi kami tahu, kami akan dinilai berdasarkan kami mara atau tidak.
“Apakah motivasi yang diperlukan apabila anda berdepan dengan juara lima kali? Ia merupakan detik yang menarik dan satu perlawanan terbesar dalam hidup kami.”

Aksi Mexico di peringkat 16 selalu tidak bernasib baik. Tewas melalui sepakan penalti di tangan Bulgaria pada 1994 sekali gus memulakan penampilan yang tidak bagus. Mexico mensia-siakan peluang mendahului perlawanan ketika menentang Jerman empat tahun yang lalu dan ketika menentang Argentina pada 2006.
Bolos sebanyak dua kali di tangan Belanda di masa kecederaan empat tahun lalu merupakan detik yang paling mengecewakan berbanding kekalahan yang lain, dengan sepakan penalti kontroversi selepas Arjen Robben terjatuh ketika menuju tamat perlawanan sekali gus membawa Belanda mara ke suku akhir.
VAR boleh mengelakkan berlakunya keputusan yang tidak adil berulang lagi tetapi Guardado memberi amaran kepada pengadil Itali, Gianluca Rocchi untuk tidak terpedaya dengan lakonan pemain termahal dunia, Neymar. – AFP