Monday, May 12, 2025
31.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mexico tuju era baharu?

    MEXICO CITY, 30 Nov – Andres Manuel Lopez Obrador akan mengangkat sumpah sebagai presiden Mexico seterusnya esok, ketika negara itu yang sudah jemu dengan rasuah, jenayah dan kemiskinan mencari arah baharu.

    Lelaki itu terkenal sebagai ‘AMLO’, telah memenangi pilihan raya Mexico pada 1 Julai dengan mudah, dan parti gabungannya yang diterajui oleh parti yang ditubuhkannya empat tahun lalu, Morena, mendapat majoriti kuat dalam kedua-dua rumah Kongres.

    Ia adalah kemenangan terbesar bagi mana-mana presiden, dan pertama kali bagi parti sayap kiri, sejak Mexico beralih kepada demokrasi pelbagai parti pada tahun 2000.

    Lopez Obrador, 65, kurang menjelaskan bagaimana dia merancang untuk melaksanakan ‘transformasi’ yang dijanjikannya.

    Dia mewarisi sejumlah masalah dari presiden sebelumnya, Enrique Pena Nieto.

    Ia termasuk epidemik rasuah, keganasan teruk yang dicetuskan oleh kartel-kartel dadah serta sejumlah 6,000 penghijrah Amerika Tengah berkampung di sempadan Amerika Syarikat-Mexico.

    Berdepan dengan pelbagai cabaran, Lopez Obrador berjanji satu era presiden bukan seperti presiden-presiden lain dalam sejarah Mexico.

    Dia sudah berjanji untuk melepaskan kediaman presiden, jet presiden, lebih daripada separuh gaji presiden dan butiran keselamatan presiden, berjanji untuk menerajui kempen anti rasuah, menjadikan dirinya sebagai contoh.

    Namun para pengkritik bimbang kerajaannya akan lebih cenderung pada radikal dan autoritarian. – AFP

    Gambar fail yang diambil pada 16 September 2018 menunjukkan Andres Manuel Lopez Obrador menyapa para penyokongnya di Mazatlan, Mexico. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda