KUALA LUMPUR, 22 OKT – Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan Ryt Bank, bank pertama di dunia yang dikuasakan oleh kecerdasan buatan (AI), sebagai Rakan Perbankan Digital Rasmi dan Rakan Rasmi Teknologi video bantuan pengadil (VAR) Liga Malaysia (Liga-M).
MFL dalam kenyataan hari ini memaklumkan kerjasama strategik itu menandakan usaha bersama antara dunia kewangan digital dan industri bola sepak tempatan yang bakal menyaksikan gabungan teknologi, inovasi dan semangat nasional untuk memacu Liga-M melangkah ke depan.
Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, kolaborasi pertama antara MFL dan Ryt Bank memberikan mesej jelas iaitu semua pihak berkongsi aspirasi sama untuk melonjakkan lagi martabat liga profesional Malaysia.
“Kami amat mengalu-alukan kehadiran Ryt Bank sebagai sebahagian daripada keluarga MFL. Perkongsian ini mencerminkan arah baharu Liga Malaysia yang lebih moden, profesional dan berpaksikan inovasi.
“Kami juga percaya melalui kerjasama strategik bersama Ryt Bank ini, ia memberikan mesej jelas, Liga Malaysia terus menjadi destinasi buat syarikat-syarikat korporat dalam membina dan mendekatkan jenama mereka dengan rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan itu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Ryt Bank, Melvin Ooi berkata, sebagai rakan rasmi teknologi VAR, pihaknya berbangga dapat menyokong ketelusan dan keadilan dalam sukan yang paling dekat di hati rakyat.
“Kerjasama ini membuktikan, apabila teknologi dan semangat rakyat bergabung, kita semua mampu untuk buat perkara yang betul (do the Ryt thing) untuk sukan dan untuk Malaysia,” katanya. – Bernama


