Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    MFL, YFL terus kukuh kerjasama dalam bola sepak

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 SEPT – Malaysian Football League (MFL) dan YAKIN Football League (YFL)  Negara Brunei Darussalam mengeratkan lagi hubungan yang membawa  potensi tinggi  untuk menjalin berbagai kerjasama yang memberikan manfaat kepada kedua belah organisasi berkenaan.

    “Lawatan ini menjadi titik permulaan kepada satu bentuk kerjasama strategik  kepada  YFL untuk menimba ilmu dan pengalaman secara langsung kepada pihak MFL yang sudah mempunyai pengalaman dalam penganjuran liga bola sepak di Malaysia”.

    Perkara ini dijelaskan oleh Pengerusi Yakin Football League Pengiran Zamri Pengiran Haji Bujang ketika mengadakan lawatan kerja rasmi ke Ibu Pejabat MSL di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

    Pengerusi YFL menerima cenderamata daripada Pemangku CEO MFL.

    Beliau mengakui lawatan berkenaan telah mencetus semangat baru dalam usaha YFL untuk membina sistem penganjuran liga bola sepak yang lebih tersusun, profesional dan berimpak tinggi di negara Brunei termasuk merentas sempadan, kepulauan Borneo dan negara jiran yang lain.

    “Melalui bimbingan dan sokongan daripada MFL, YFL mempunyai kekuatan untuk  menganjurkan liga bola sepak yang lebih mantap dan berdaya saing di rantau ini,” ujarnya.

    Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yakin Football League Company, Hernah Nur Imani binti Muhammad Jeffrey, dalam ucapan alu-aluan menjelaskan lawatan kerja rasmi  berkenaan adalah untuk bertukar idea di samping meneroka kerjasama yang mendalam dengan MFL secara khusus.

    “Lawatan ini merupakan peluang untuk memahami bagaimana MFL menyusun organisasi dan operasi dalam mengendalikan liga berprestij di samping mempelajari cara MFL menarik dan mengekalkan penajaan dari tahun ke tahun,” katanya.

    Beliau seterusnya menjelaskan, pertemuan secara langsung itu memberi peluang untuk membincangkan kerjasama seperti liga komersial di Negara Brunei Darussalam yang akan melibatkan kelab Malaysia dan Indonesia, di samping usaha sama penajaan dan pemasaran, serta penempatan latihan (internship) kakitangan kami di MFL.

    Selain melahirkan keyakinan dengan bekerjasama bersama MFL ia akan membantu YFL untuk  memperkukuhkan dan memajukan bola sepak di Negara Brunei Darussalam dan seluruh rantau ASEAN.

    Sebelum ini, YFL telah berjaya menganjurkan kejohanan bola sepak Bawah 16 Tahun, Kejohanan Bola Sepak Mujahiddun dan  Liga Bawah 18 Tahun (U18) merebut Piala Laila Cheteria yang disertai oleh pasukan Miri FA dan Limbang FA.

    Sementara itu, kejohanan-kejohanan futsal yang telah dianjurkan termasuk Liga Futsal Brunei Elite dan Premier yang disertai oleh sebuah pasukan dari Singapura.

    Delegasi YFL telah dijunjung oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Mohd Shazli bin Shaik Mohammad berkongsi perkembangan terkini perjalanan Liga Malaysia 2025-2026 di samping berbincang potensi kerjasama MFL-YFL

    Lawatan kerja rasmi YFL turut disertai oleh Zaini Tumih, pemain bola sepak kebangsaan yang membantu membawa kejayaan pasukan kebangsaan Negara Brunei Darussalam menjuarai Piala Malaysia 1999 dan kini menjadi jurulatih pada pasukan Gergasi FC, dan turut serta dalam rombongan itu, Ahli Penasihat YFL (Malaysia), Syahrul Azhar Mahmood.

    Delegasi YFL dan MFL bergambar kenangan. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN YFL
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda