Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OGOS – MG GT yang dinanti-nantikan telah dilancarkan secara rasmi oleh pengimport dan pengedar sah MG, Premier Motor Co Sdn Bhd (PMC) yang berlangsung di bilik pameran di Beribi, baru-baru ini.
Sejak tahun 2012 ia diperkenalkan, MG GT telah direka dengan gaya hidup moden dengan fungsi dan rekaan yang mampu milik untuk pasaran Brunei. Kini, ia terus memberi kepuasan kepada penggemar permotoran terutamanya peminat setia MG dengan memperkenalkan dua model GT yang berbeza.
Pelancaran MG GT telah disempurnakan oleh Pengarah Urusan Baiduri Finance, Haji Haliluddin bin Dato Haji Talib; Timbalan Pengurus Besar Baiduri Finance, Haji Rayme bin Haji Bakar; Pengarah Urusan BIBD At-Tamwil, Haji Mohd Said bin Haji Zania; Ketua Pemasaran dan Perhubungan Awam BIBD At-Tamwil, Awang Ashaeul Norshari dan Ketua Jualan BIBD At-Tamwil, Awang Sharriff Alimin.
Model GT yang pertama memiliki pengecas turbo 1.5L yang mengagumkan dengan kotak gear dwi klac tujuh kelajuan tiga ruang yang mampu mencapai kuasa maksimum 173PS dan tork maksimum 275Nm dengan kelajuan dari sifar ke 100 kilometer sejam dalam masa 8 saat.
Sementara itu, model kedua GT pula dilengkapi dengan enjin 1.5L yang sangat cekap dengan transmisi pintar MEGA Teach CVT.
Pengurus Pemasaran, Mark Paren pula berkongsi perasaan teruja dengan pelancaran MG GT serba baharu ke pasaran Brunei dan ia adalah kenderaan sport sedan yang menarik dengan menawarkan gaya dan ciri yang hebat sekali gus menjadi minat pemilik kereta pada masa ini.
Orang ramai yang berhasrat untuk melihat lebih dekat lagi model baharu MG GT dan memandu uji sendiri dialu-alukan untuk ke bilik pameran kereta berkenaan.


