Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    MGCSB anjur kempen kesedaran keselamatan jalan raya tahunan

    Oleh Daniel Lim –

    BELAIT, 21 NOV – Mashhor General Contractor Sdn Bhd (MGCSB) telah mengadakan Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya Tahunan dengan kerjasama Balai Polis Seria dan Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalulintas (JSKLL) pada 17 November lalu, bertempat di Jalan Lorong Tengah, Kuala Belait.

    Kempen tersebut diketuai oleh Timbalan Pengarah MGCSB merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Mashhor Waste Management, Malai Shamil Faris bin Dr Malai Haji Hamid, serta Pengurus Korporat HSSE, Awang Mohd Rizal bin Dr Abdul Latif.

    Turut hadir ialah wakil dari Balai Polis Seria, ASP Nagib bin Haji Alias, dan Pegawai Trafik Daerah dari Bahagian Kawalan Lalu Lintas Daerah Belait, DSP Muhd Zulfadli bin Haji Awang Yussof.

    Kempen tersebut bertujuan memastikan kenderaan para pekerja berada dalam keadaan selamat untuk digunakan di jalan raya, di samping memastikan penggunaan tali pinggang keledar yang betul serta pematuhan terhadap undang-undang jalan raya dan lalu lintas.

    Ahli jawatankuasa kempen turut mengedarkan risalah Kesedaran Keselamatan Jalan Raya dan Peraturan Menyelamatkan Nyawa semasa program berkenaan.

    Sepanjang kempen dijalankan, pihak penganjur mendapati beberapa kenderaan telah melakukan pelanggaran terhadap peraturan jalan raya dan lalu lintas, dan pemandunya telah dikenakan kompaun.

    Pemeriksaan yang dijalankan sebagai sebahagian daripada Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya di Kuala Belait. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda