Oleh Daniel Lim
BELAIT, 29 SEPT – Sebagai sebahagian daripada aktiviti tahunan untuk membantu meningkatkan kesedaran serta mengingatkan kakitangannya mengenai kepentingan mematuhi peraturan dan undang-undang lalu lintas, Mashhor General Contractor Sdn Bhd (MGCSB) telah mengendalikan taklimat mengenai Sistem Mata Demerit di ibu pejabatnya di Jalan Pangsa, Seria, hari ini.
Taklimat yang dikendalikan bukan sahaja bagi meningkatkan kesedaran malah pengetahuan mengenai pelbagai peraturan dan undang-undang mengenai pemanduan di jalan raya di negara ini, terutamanya mengenai Sistem Mata Demerit serta Sistem Amalan Keselamatan Pemandu (SiKAP).
Seramai 37 orang kakitangan dari pelbagai jabatan di bawah MGCSB, Mashhor Waste Management dan Mashhor Cleaning Services telah menghadiri taklimat berkenaan.
Turut hadir ialah Timbalan Pengarah MGCSB dan Ketua Pegawai Eksekutif Mashhor Waste Management, Malai Shamil Faris bin (Dr) Malai Haji Abdul Hamid.
Terdahulu sebelum taklimat, Pengurus Kesihatan, Keselamatan, Sekuriti dan Alam Sekitar (HSSE) Korporat, Awang Mohd Rizal bin Dr Haji Abdul Latif menyampaikan taklimat ringkas dengan mengetengahkan tentang kepentingan menghadiri taklimat seumpamanya kerana ia membantu menggalakkan intervensi di peringkat awal yang boleh mencegah komplikasi dan kemalangan daripada berlaku.
MGCSB telah menjemput Pegawai Penguatkuasaan Kanan dari Jabatan Pengangkutan Darat (JPD), Pengiran Khairul Yusra bin Pengiran Haji Muhd Yusuf bersama pegawai-pegawai pe-nguat kuasa, Haji Mohd Said bin Matzin dan Dayang Halimah binti Haji Mos bagi menyampaikan taklimat.
MGCSB berharap dengan menyampaikan maklumat berkenaan kepada kakitangan akan membantu memastikan bahawa mereka akan lebih berhati-hati dan berdisiplin dalam mematuhi peraturan dan undang-undang yang sedia ada.
Selain itu, taklimat juga diharap akan membantu mewujudkan persekitaran pemanduan yang lebih selamat bagi semua pengguna jalan raya pada masa yang sama mempromosikan budaya lebih selamat bagi setiap pengguna jalan raya dan pemandu serta mematuhi Sistem Prosedur Keselamatan Jalan Raya Kebangsaan.
