Saturday, May 10, 2025
31 C
Brunei

    Berita Terkini

    MGCSB serlahkan kempen bahaya rokok

    Oleh Daniel Lim

    BELAIT, 10 NOV – Dalam usaha berterusannya memastikan keselamatan dan kesihatan kakitangan dan rakan kongsi perniagaan, Mashhor General Contractor Sdn Bhd (MGCSB) mengadakan Kempen Kesedaran dan Pameran Mini Bahaya Rokok di ibu pejabatnya di Jalan Pangsa Seria hari ini.

    Lebih daripada 50 kakitangan dari pelbagai jabatan di bawah MGCSB menghadiri kempen tersebut yang diadakan dengan kerjasama Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan.

    Hadir menyampaikan taklimat mengenai Akta Perintah Tembakau ialah Pegawai Pendidikan Kesihatan, Dayang Arni Nur Aqilah binti Bakar. Taklimat menerangkan mengenai cara pengawalan ketagihan terhadap rokok dan usaha mengurangkan serta berhenti terus daripada merokok.

    Turut hadir ialah Pegawai Perubatan Kanan, Dr Siti Rosemawati binti Haji Mohd Yussof dan jururawat dari pusat tersebut, Dayang Noorizan binti Idris yang mengadakan kaunseling percuma berhenti merokok kepada beberapa orang kakitangan MGCSB.

    Ia juga dihadiri oleh Timbalan Pengarah Kumpulan Syarikat Mashhor dan Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Sisa Mashhor, Malai Shamil Faris bin Dr Malai Haji Abdul Hamid yang berkesempatan menyampaikan kata-kata aluan antara lainnya mengingatkan kakitangan bahawa syarikat tidak bertoleransi terhadap budaya merokok dan berharap kempen itu akan memberikan kesedaran, kefahaman dan galakkan kepada kakitangan untuk menghindari serta berhenti merokok.

    Selain taklimat dan kaunseling, pameran mini juga diadakan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan pekerja mengenai larangan dan bahaya merokok atau menggunakan vape.

    Warga MGCSB ketika mendengarkan taklimat kesedaran bahaya rokok daripada pegawai kesihatan.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda