Saturday, February 15, 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    MGP Didik masyarakat sayangi khazanah alam

    PADANG BESAR, 21 JUN – Peranan Malim Gunung Perhutanan (MGP) bukan sekadar sebagai jurupandu, malah mereka adalah ‘duta kecil’ yang mendidik masyarakat agar lebih menghargai khazanah hutan negara.

    Pengarah Perhutanan Perlis, Ag Shaffie Ag Ahmadni berkata kini terdapat 40 MGP yang berdaftar dengan pihaknya dan mereka dilantik daripada komuniti setempat serta mempunyai pengetahuan tentang selok-belok hutan, bukit atau gua yang terdapat di kawasan masing-masing.

    “Mereka dilatih dengan kemahiran-kemahiran seperti peraturan perhutanan, operasi menyelamat dan sebagainya agar dapat memberi khidmat sebagai jurupandu kepada penggiat rekreasi khususnya pendaki di dalam Hutan Simpan Kekal di seluruh negeri ini,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

    Ag Shaffie berkata MGP turut mendidik masyarakat tentang aspek keselamatan mendaki dan peraturan perhutanan seperti larangan pengambilan hasil hutan tanpa kebenaran.
    Sementara itu, malim gunung di Hutan Simpan Bukit Jernih, Zainol Din, 47, berkata beliau mula belajar mendaki bukit sejak berumur 18 tahun dan cintakan hutan serta khazanah tidak ternilai yang terdapat di dalamnya.

    “Saya buat kerja ini (malim gunung) kerana ingin berkongsi dengan orang ramai keunikan yang terdapat di Hutan Simpan Kekal di negeri Perlis.

    “Banyak khazanah unik di sini yang masih tidak diketahui oleh masyarakat luar dan tugas kami sebagai malim gunung perhutanan adalah memberi penerangan dan kesedaran kepada orang ramai tanggungjawab bersama dalam menjaga khazanah alam ini,” katanya yang mesra dengan panggilan Pak Non.- Bernama

    Gambar Freepik

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda