‘MH370 sengaja ditenggelamkan’

SYDNEY, 19 FEB – Bekas Perdana Menteri Australia, Tony Abbott mengatakan yang para pegawai ‘atasan’ Malaysia percaya bahawa pesawat MH370 milik Penerbangan Malaysia (MAS) sengaja ditenggelamkan juruterbang pesawat dalam misi membunuh diri.

Pesawat terbabit ghaib pada 8 Mac 2014 dengan membawa 239 penumpang dan kru, sebahagian besarnya dari China, dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Beijing.

Ia gagal ditemui sepanjang misi mencari digerakkan di Lautan Hindi, membabitkan kawasan seluas 120,000 kilometer persegi, termasuk pencarian di dasar laut, sebelum akhirnya digantung pada Januari 2017.

Sebuah firma penerokaan persendirian dari Amerika Syarikat (AS) melancarkan misi mencari pada 2018, namun membatalkan proses tidak lama selepas itu apabila segala usaha menjelajah dasar laut menemui kegagalan.

Kehilangan MH370 sekian lama dijadikan topik teori konspirasi, bermula dari hujah meyakinkan hingga yang tidak masuk akal, termasuk dakwaan kononnya juruterbang bertugas, Kapten Zaharie Ahmad Shah, sengaja menjatuhkan pesawat terbabit. – AFP

Gambar fail pada 14 Mac menunjukkanseorang lelaki menulis kata-kata takziah semasa hari memperingati insiden itu di Kuala Lumpur, Malaysia. – AP