Monday, February 10, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    MHO minta polis siasat skim pelaburan mesin layan diri sebabkan kerugian RM5.2 juta

    KUALA LUMPUR, 9 FEB – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menggesa polis menjalankan siasatan terhadap skim pelaburan mesin layan diri disyaki tidak wujud yang menyebabkan 54 individu mengalami kerugian hampir RM5.2 juta.

    Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata kebanyakan mangsa mengenali skim berkenaan melalui laman sosial dan rakan mereka, sebelum membuat
    pelaburan antara RM1,000 hingga RM450,000 seorang.

    Beliau berkata syarikat terbabit yang berpangkalan di Johor Bahru dan mempunyai beberapa cawangan antaranya di Seri Kembangan, Selangor, Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak itu menawarkan tiga pakej pelaburan kepada mangsa.

    “Pakej A adalah membeli mesin layan diri dengan harga RM30,000 dan akan menerima pulangan RM1,300 setiap bulan, pakej B iaitu pelaburan RM25,000 manakala pakej C pula mangsa hanya perlu membayar minimum RM1,000 dan dijanjikan pulangan empat peratus setiap bulan.

    “Namun, sehingga kini mangsa yang memilih pakej A masih belum menerima mesin layan diri seperti dijanjikan selain pihak syarikat memberikan pelbagai alasan antaranya mesin terbabit masih berada di China dan syarikat mempunyai masalah kewangan,” katanya dalam sidang media bersama mangsa di sini, hari ini.

    Beliau berkata mangsa telah membuat laporan polis setelah merasakan telah ditipu oleh syarikat berkenaan.

    Pada sidang media sama, sepasang suami isteri yang bekerja sebagai pekerja pembersihan menjadi antara mangsa skim berkenaan hingga sanggup mengeluarkan simpanan sebanyak RM80,000. – Bernama

    Datuk Hishamuddin Hashim (tiga, kanan) bergambar bersama pengadu-pengadu pada sidang media selepas menyerahkan surat aduan mengenai kes penipuan skim pelaburan di Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda