Gambar ANN/China Daily
HENAN – Daerah Huangchuan, di wilayah Henan, tengah China, dipenuhi dengan sawah padi, tetapi makanan kegemaran penduduk disana bukan beras. Sebaliknya, adalah gongmian Huangchuan, hidangan mi tradisional yang bermula sejak Dinasti Tang (tahun 618 hingga 907).
Mi manis dan nipis, masak dengan cepat, tidak melekit dalam sup, dan terkenal dengan bentuknya yang berongga, seperti tiub.
Mi berongga Gongmian berkait rapat dengan cita rasa masakan dinasti empayar silam, seperti yang dibuktikan oleh abjad ‘gong’ dalam nama itu, yang diterjemahkan bermaksud ‘penghormatan’.
Sejarah tempatan yang disusun semasa pemerintahan Maharaja Guangxu (tahun 1871 hingga 1908) dari Dinasti Qing (tahun 1644 hingga 1911) mencatatkan bahawa daerah itu telah menghasilkan mi berongga sebagai ufti selama berabad-abad pada ketika itu, dan popularitinya telah tersebar jauh dan luas.
Mi itu juga sampai ke meja jamuan meraikan hari ke-100 pemerintahan Maharani Tang Wu Zetian, yang merupakan satu-satunya pemerintah wanita dalam sejarah China.
Ia menjadi persembahan adat penghormatan kepada keluarga diraja semasa Dinasti Song (tahun 960 hingga 1279), kemudiannya berkembang maju di kalangan masyarakat yang lebih luas.
Pada akhir Februari, mi berongga telah dipaparkan dalam pameran warisan budaya yang besar yang diadakan oleh jabatan kebudayaan dan pelancongan wilayah Henan dan kerajaan perbandaran Zhoukou. Para peserta dapat melihat bagaimana mi dibuat oleh pembuat mi dan merasainya.
Kraf tradisi dikemas kini
“Proses biasanya bermula pada waktu malam,” kata Liu Laiwang, pengasas Wangxin Hollow Noodle Co.
Pertama, tepung gandum dibancuh dengan air garam sebelum diuli berulang kali untuk meningkatkan keanjalan.
“Minyak kemudiannya ditambah, yang mencipta poket udara kecil dalam doh, manakala garam bukan sahaja menambah rasa tetapi juga meningkatkan keanjalan gluten dalam doh, menjadikannya lebih mudah untuk digantung dan meregangkan, yang juga menyumbang kepada pembentukan poket udara,” katanya.
Setelah doh siap, ia dibiarkan untuk diperam, kemudian digulung dan dibentuk dan dibiarkan semalaman.
Keesokan paginya, mi dipintal di sekeliling penyepit dan diletakkan di dalam palung khusus untuk penapaian selanjutnya.
Apabila mi berada pada daya tahan optimumnya, ia akan dijemur dibawah cahaya matahari dan udara selama dua jam sehingga kira-kira 90 peratus kering.”
Selepas proses yang panjang ini, mi yang telah siap seperti sutera nipis dan berkilauan seperti perak, menampilkan rongga lingkaran sekecil mata jarum.
Liu, kini berusia 50-an, terlibat dalam pembuatan mi berongga sejak zaman kanak-kanaknya, apabila bapanya dan ramai orang tua tempatan lain menghasilkannya untuk menyara hidup.
Pada tahun 1996, Liu menyertai perusahaan pemprosesan gandum tempatan dan belajar daripada pakar yang berpengalaman.
Pada tahun 2006, dia memutuskan untuk memulakan perniagaan mi sendiri, dan mengambil tindakan berani dengan rancangannya.
Liu memutuskan untuk mengeluarkan mi secara besar-besaran dengan merekrut, melatih dan menggaji pekerja tempatan yang kurang pengalaman.
Dia juga telah membuat beberapa perubahan yang bijak kepada teknik pengeluaran yang telah diuji masa, menambah baik kaedah gantung dengan membentang susunan penyepit, yang menghalang mi daripada melekat bersama, dan membina bilik pengeringan angin untuk meminimumkan kesan cuaca.
Memperkukuh ekonomi tempatan
Perniagaan Liu menghasilkan 3,000 tan mi berongga setiap tahun, tetapi selepas lebih dua dekad, dia memutuskan untuk menyerahkan perniagaan kepada anaknya, Liu Honglei.
Liu Honglei telah memanfaatkan masa mudanya untuk membantu perniagaan bapanya menerokai perniagaan dalam talian. Dia mula menjual mi dalam talian pada 2015, dan mengunakan platform e-dagang JD dan Tmall pada 2018.
Perniagaan yang berkembang pesat juga telah memberi manfaat kepada penduduk kampung.
Sejak 2017, dia telah mengambil pekerja dari masyarakat setempat yang kurang berpendapatan, menawarkan latihan percuma kepada ratusan orang.
Kerajaan tempatan juga telah memberi sokongan kepada pembangunan mi tersebut dan menggalakkannya untuk meningkatkan pendapatan penduduk, sehingga ada yang telah mengikuti langkah Liu Laiwang dengan memulakan perniagaan mi Huangchuan mereka sendiri.
Pada tahun 2020, Universiti Industri Ringan Zhengzhou telah dijemput untuk menganjurkan program pengajian dan latihan warisan budaya di perkarangan kilang Liu Laiwang.
Sehingga kini, lebih 2,000 penduduk tempatan bekerja dalam perniagaan mi di Huangchuan, dengan nilai keluaran tahunan mencecah 600 juta yuan. – ANN/China Daily