Wednesday, October 4, 2023
23 C
Brunei

    -

    Mi kolok sajian dari Sarawak, laris di Terengganu

    KUALA TERENGGANU – Rakyat Terengganu sinonim dengan pelbagai makanan tradisi seperti nasi dagang, nasi kerabu, keropok lekor dan sebagainya, yang dinikmati tidak kira waktu.

    Namun, mungkin ada yang tidak tahu bahawa ramai juga penduduk negeri ini menggemari makanan tradisional dari negeri lain seperti mi kolok yang berasal dari Sarawak.

    Perkara itu diakui pemilik kedai makan Warung Saudara Kita, Muhammad Firdaus Kong Abdullah, 53, yang menyajikan mi kolok sebagai sajian istimewa di premisnya yang menerima permintaan tinggi daripada pelanggan yang kebanyakannya terdiri daripada rakyat Terengganu. 

    “Pelanggan saya bukan sahaja dari Sarawak yang bekerja sebagai askar, polis atau guru yang menetap di sini tetapi ramai juga penduduk tempatan Terengganu yang gemar makan mi kolok terutama pada waktu pagi,” katanya ketika ditemui Bernama di premis perniagaannya di Jalan Panji Alam di sini hari ini.

    Namun anak jati Sibu, Sarawak yang berhijrah ke Terengganu sejak lapan tahun lepas itu hanya mampu menyediakan menu istimewa dari Bumi Kenyalang pada hari Sabtu dan Ahad ekoran kekangan masa untuk menyediakan bahan-bahan terutama wantan yang dihidangkan bersama sup.

     “Kekangan utama saya untuk sediakan mi kolok setiap hari ialah wantan kerana proses membuatnya  rumit dan saya lakukannya sendiri bagi mengekalkan kualiti dan rasanya. Sebenarnya boleh sahaja saya beli wantan yang dijual dalam bentuk sejuk beku tetapi bagi saya jenis itu mengandungi banyak tepung dan kurang berkualiti.

    “Atau saya juga boleh sediakan sup kosong tetapi ramai pelanggan ingin makan mi kolok bersama sup wantan. Saya sendiri pun rasa tidak puas sekiranya hanya hidangkan sup kosong,” katanya yang turut menyajikan mi kolok bersama kicap manis yang dimasak sendiri.

    Selain itu, beliau menghidangkan mi kolok bersama “cili potong”, mengikut cita rasa rakyat Terengganu berbanding di Sarawak yang dinikmati dengan sos cili.

    Muhammad Firdaus Kong turut menyajikan mi kolok bersama menu sampingan lain seperti ayam panggang, ayam goreng dan itik panggang yang dijual antara RM6 hingga RM12.

    Saudara baharu berbangsa Cina dan memeluk agama Islam sejak lapan tahun lepas itu berkata pada Sabtu dan Ahad setiap minggu, beliau berjaya menjual sebanyak 12 kilogram mi kolok di kedainya yang telah beroperasi sejak empat tahun lepas. 

    Katanya, bekalan mi kolok mentah dibelinya secara borong daripada penjual di Kuala Lumpur dan bekalan lain seperti ayam dan itik dibeli daripada pemborong di sini. – Bernama

    Pemilik Warung Saudara Kita, Muhammad Firdaus Kong Abdullah,53, menyediakan makanan tradisional dari Sarawak iaitu mi kolok semasa ditemui di Jalan Panji Alam. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    24 mati dalam tempoh 24 jam di India

    NEW DELHI, 3 Oktober - Sekurang-kurangnya 24 pesakit, separuh daripadanya anak damit baru lahir telah meninggal dunia dalam tempoh 24 jam lepas di sebuah...