Perkahwinan pelakon Indonesia, Luna Maya dan Maxime Bouttier masih menjadi topik perbualan termasuk mengenai menu dihidangkan ketika acara resepsi.
Menerusi video tular di TikTok, menu hidangan disajikan termasuk juadah tradisional bubur candil, onde-onde serta sajian berat nasi bersama lauk-pauk.
Namun apa menarik perhatian, Luna turut menyajikan menu popular Indonesia iaitu mi segera dalam senarai hidangan kepada tetamu.
Memetik laporan mStar, ramai terkejut melihat menu itu kerana menganggap ia juadah golongan ‘marhean’.
“Sehebat mana majlis pernikahan Luna di hotel mewah, tapi katering disediakan tidak terlalu elit sebaliknya sederhana.

“Mungkin mi segera adalah makanan mewah bagi selebriti kerana mereka jarang menikmatinya.
“Berbeza kalau di kampung, hidangan seperti mi segera, tempe pasti bahan umpatan orang kampung,” komen warganet.
Pada 7 Mei lalu, Luna dan Maxime sah bergelar suami isteri dengan sekali lafaz pada acara pernikahan yang berlangsung di Bali, Indonesia.
Upacara pernikahan pasangan selebriti itu turut disiarkan secara langsung menerusi YouTube Luna.
Untuk rekod, Luna dan Maxime mula menjalinkan hubungan cinta sekitar tahun 2023.
Pada April lalu, Maxime melamar Luna dengan melutut dan menghulurkan sebentuk cincin ke arah aktres itu semasa mereka bercuti di Jepun. – Agensi