Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 MAC – Menjelang pelancaran filem animasi terbaharu Disney, Raya and the Last Dragon, Kedutaan Besar Amerika Syarikat (AS) di Negara Brunei Darussalam dan Mahakarya Institute of the Arts Asia (MIAA) telah menganjurkan sesi storytelling masterclass penuh eksklusif di institut tersebut, hari ini.
Sesi yang dijalankan secara maya itu telah dipimpin oleh tiga orang ahli panel terdiri daripada penulis skrip, Qui Nguyen dan Adele Lim serta Fawn Veerasunthorn sebagai ketua cerita filem tersebut.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, sesi sedemikian turut diadakan di negara-negara Asia Tenggara yang lain seperti Singapura, Malaysia, Indonesia dan Filipina yang mana filem animasi terbaharu Disney itu akan dikeluarkan di teater di seluruh dunia pada 4 Mac ini.
Dengan penganjuran sesi masterclass berkenaan, ia bertujuan untuk mempromosikan storytelling dan seni kreatif di Brunei sebagai industri baharu yang sekali gus bermatlamat untuk mengembangkan lagi kepelbagaian ekonomi tanah air.
Dalam pada itu, acara berkenaan juga dapat memberi peluang keemasan kepada para pelajar dan pembuat filem untuk mempertimbangkan berbagai-bagai kajian digital peringkat universiti, termasuklah pembuatan filem dan animasi di Amerika Syarikat.
Sehubungan itu, para pelajar perfileman di MIAA yang juga selaku pembuat filem dan animasi tempatan telah berpeluang menyaksikan di sebalik tabir penghasilan filem yang mana sesi masterclass berkenaan bermatlamat untuk menumpukan pendedahan kepada para pelajar mengenai hubung kait peranan penulis, cerita dan artis itu bekerjasama sehingga terhasilnya sebuah filem animasi.
Di samping menyelami bagaimana cetusan inspirasi yang diperolehi oleh pembuat filem sehingga membawa sesi perkongsian mereka dengan negara-negara Asia Tenggara.
Dekan MIAA, Dr Alex Fischer menjelaskan bahawa bagi para peserta yang mengikuti sesi berkenaan adalah langkah pertama menuju kerjaya dalam industri kreatif.
“Kami gembira kerana dapat bekerjasama dengan Kedutaan Besar Amerika Syarikat, Walt Disney Animation Studios dan School of Cinematic Arts University of Southern California (USC) untuk memberikan peluang yang sememangnya suatu yang bukan mudah untuk didapati di mana-mana, apa lagi bila para pelajar dapat berinteraksi dengan pakar profesional industri terkemuka,” ujarnya.
