Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 JULAI- Majlis Penyampaian Sijil dan Penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoA) antara Micronet International College (MIC) dan Universiti Teknologi Brunei (UTB) telah berlangsung di Balai Khazanah, MIC pagi tadi sekali gus menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha memperkukuh kolaborasi strategik antara kedua-dua institusi pendidikan.
Majlis berkenaan telah diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat, Naib Canselor UTB, Datin Paduka Profesor Dr Dayang Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman.

Dalam ucapan alu-aluan, Pengurus Besar MIC, Sharon Chin merakamkan penghargaan kepada tetamu kehormat atas sokongan dan kehadiran beliau dalam majlis yang cukup bermakna tersebut serta turut mengucapkan tahniah kepada para pelajar dari Program BriCOMP Pengambilan Mac 2025 dan Program Ijazah Komputing UTB-MIC Pengambilan Julai 2024 yang telah berjaya menamatkan pengajian di MIC dan kini bersedia melanjutkan pengajian ke UTB.

Naib Canselor Universiti Teknologi Brunei (UTB), Datin Paduka Profesor Dr Dayang Hajah Zohrah dalam ucapannya menyatakan keistimewaan majlis kerana menyaksikan empat pencapaian utama iaitu majlis graduasi pelajar BriCOMP, kejayaan pelajar Program Ijazah Komputing UTB-MIC, pembaharuan MoA bagi program tersebut serta penandatanganan MoA baharu bagi Program Ijazah Perniagaan UTB-MIC.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada kedua-dua institusi atas kejayaan menganjurkan program-program berkualiti tinggi yang menyumbang kepada pembangunan sumber manusia dalam bidang teknologi maklumat dan perniagaan di negara ini.
“Kerjasama antara UTB dan MIC yang dimeterai sejak 10 September 2020 bermula dengan tujuh pelajar. Hari ini, kita menyaksikan kohort keenam bagi program BriCOMP dan kohort kedua program Ijazah Komputing UTB-MIC. Dalam tempoh dua tahun akan datang, kita akan menerima kumpulan pertama pelajar program Ijazah Perniagaan UTB-MIC,” jelas beliau.
Kerjasama strategik tersebut, ujarnya, telah membuka laluan alternatif yang berdaya maju bagi kemasukan ke UTB dan memperluas peluang pendidikan tinggi dalam bidang ICT dan perniagaan kepada belia tempatan.

Dalam ucapan tersebut, beliau turut menyentuh tentang kepentingan menyokong pelaksanaan Pelan Induk Ekonomi Digital Brunei serta Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 4: Pendidikan Berkualiti selain berkongsi senarai 15 pekerjaan dengan gaji tertinggi yang antaranya melibatkan jurutera kecerdasan buatan serta pembelajaran mesin, saintis data, pembangun blockchain, pakar keselamatan siber dan jurutera komputeran awan.
“Bidang pertumbuhan yang berasaskan teknologi seperti AI, pengkomputeran awan dan keselamatan siber mendominasi landskap pekerjaan masa hadapan. Ini membuktikan bahawa UTB dan MIC bersedia melahirkan graduan yang mampu bersaing di peringkat global,” tambahnya.
Mengulas mengenai pencapaian UTB, beliau menekankan kedudukan UTB sebagai universiti teknologi terkemuka di negara ini dan tekad untuk terus menjadi institusi berasaskan inovasi melalui pendidikan dan penyelidikan yang berimpak tinggi.
“UTB kini tersenarai dalam kedudukan sembilan universiti terbaik dalam bidang teknologi dan kejuruteraan di ASEAN menurut Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings 2026, selain muncul dalam Times Higher Education (THE) World University Rankings 2025 sebagai antara 801–1000 universiti terbaik dunia.”

Beliau juga menekankan pengiktirafan antarabangsa terhadap program-program UTB, termasuk pengiktirafan British Computer Society (BCS) dan European Foundation for Management Development (EFMD) sebelum menutup ucapan dengan menyatakan keyakinan bahawa kerjasama berterusan antara UTB dan MIC akan terus memacu kecemerlangan pendidikan tinggi serta menyumbang kepada matlamat Wawasan Brunei 2035.
Majlis berkenaan turut memberikan pengiktirafan khas kepada dua pelajar cemerlang yang menerima Anugerah Khas Merit atas prestasi akademik yang memberangsangkan serta sumbangan mereka sepanjang pengajian iaitu A’thiyah A’zimah binti Haji Muhammad Khairul Azwan dan Alyzza binti Md. Aminurzaman Alias Ong Ching Ching.
Turut hadir ialah Pengarah Urusan MIC, Penolong Naib Canselor, Sylvester Yong, serta Ahli-ahli Senat UTB, pegawai kanan dari Kementerian Pendidikan, Ahli Lembaga Gabenor MIC, tetamu korporat, pensyarah, ibu bapa dan para pelajar.