Pengarah dan penerbit Malaysia, Michael Ang hampir menjadi mangsa penipuan iklan sebuah produk dipercayai keluaran Korea Selatan.
Michael menjelaskan dia menyedari perkara tersebut selepas menonton video seorang pempengaruh dari negara yang digunakan sebagai model iklan produk berkenaan di TikTok.
Jelas Michael, menerusi video tersebut pempengaruh itu mempromosikan produk berbeza dan bukan seperti di dalam iklan.
“Semua orang tahu saya sangat gilakan produk rawatan kulit. Hampir teracun dengan satu produk ini dekat TikTok, ingatkan betul-betul daripada Korea Selatan.
“Tapi tertengok video seorang pempengaruh itu terus tahu iklan tersebut palsu. Sebab perempuan dalam video tersebut dan gambar dia sedang pakai produk lain dan bukan produk seperti dalam iklan.

“Ini satu penipuan. Macam mana dia orang boleh pakai gambar orang lain untuk produk mereka,” katanya memetik laporan mStar.
Michael berkongsi perkara itu menerusi Instagram miliknya dengan memaparkan foto pempengaruh Korea Selatan menggunakan produk yang berlainan.
Bengang dengan perkara tersebut, Michael berharap pemilik produk berkenaan berhenti menipu pengguna kerana ia boleh mengakibatkan masalah lain.
“Siapa pemilik produk ini sudah-sudahlah menipu pembeli. Tak baik dan tak halal okay.
“Jom beritahu satu Malaysia produk itu buat iklan palsu. Tak baik menipu hancurkan kulit kita,” kongsinya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata berkongsi pengalaman hampir sama dengan pengarah berkenaan.
Rata-rata warganet juga menyarankan untuk membeli produk di tempat lebih selamat bukannya di media sosial.
“Risau ya skincare sekarang, takut produk Malaysia tapi kata buatan Korea Selatan.
“Mike janganlah percaya segala jenis produk. Semua tu marketing dan pembohong jer! Rakyat Malaysia sangat mudah tertipu.
“Terima kasih sebab kongsi, saya pun hampir terpedaya,” antara komen warganet. – Agensi