Saturday, April 19, 2025
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Michael Riman disemadikan di Makam Pahlawan Sarawak

    KUCHING, 10 OGOS – Pemegang pingat Panglima Gagah Berani (PGB) Mejar (B) Michael Riman Bugat, 71, yang meninggal dunia Isnin lepas disemadikan di Makam Pahlawan di sini, dengan penuh istiadat ketenteraan hari ini.

    Jenazah mendiang yang diletakkan di Dewan Suarah di sini sejak semalam bagi membolehkan orang ramai memberikan penghormatan terakhir, telah dibawa ke Makam Pahlawan pagi ini untuk upacara pengebumian.

    Panglima Satu Divisyen Infantri Malaysia, Mej Jen Hassan Embong, Ketua Pengarah Jabatan Hal-Ehwal Veteran Angkatan Tentera, Mej Jen Zambry Jefry Darus dan Panglima Tiga Briged Infantri Malaysia, Brig Jen Adnan Hashim dan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata adalah antara 200 orang  yang menghadiri upacara itu. 

    Sementara itu, Penaung Persatuan Pemegang Pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) dan Pingat Panglima Gagah Berani (PGB), Lt Jen (B) Datuk Mohd Zaini Mohd Said berkata mendiang Michael Riman memang diakui seorang ‘Bujang Berani’ (Bahasa Iban untuk pahlawan) sewaktu menentang pengganas komunis dalam 1970an.

    “Saya sedih atas pemergiannya yang tidak saya sangka tapi dalam masa yang sama amat bangga bahawa sepanjang hidupnya telah berkorban untuk negara,” katanya yang ditemui pemberita di upacara itu.

    Katanya, Michael Riman bersama seorang lagi pemegang pingat SP dan PGB dari Sarawak, mendiang Pegawai Waran II Datuk Kanang Langkau pernah berada di bawah seliaannya sewaktu Mohd Zaini menjadi Mejar Briged di Markas Dua Briged yang berpangkalan di Ipoh, Perak.

    “Saya akan merinduinya (Michael Riman) sebagai adik Iban saya (dalam tentera),” katanya. – Bernama

    Mendiang Mejar (B) Michael Riman Bugat, 71, yang meninggal Isnin lepas selamat disemadikan di Makam Pahlawan di sini dalam upacara penuh istiadat ketenteraan kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda