Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Michelle Obama lancar syarikat pemakanan sihat

    WASHINGTON, 4 MEI – Michelle Obama mengumumkan semalam dia telah menubuhkan syarikat baharu untuk membuat dan menjual makanan dan minuman yang lebih sihat untuk kanak-kanak, produk yang menurutnya akan kurang memudaratkan kesihatan jangka panjang kerana kandungan gula yang lebih rendah dan kandungan nutrien lebih tinggi.

    Usaha sama bekas Wanita Pertama dengan PLEZi Nutrition adalah lanjutan daripada kempennya untuk meningkatkan pemakanan kanak-kanak ketika berada di Rumah Putih.

    “Saya telah mempelajari bahawa dalam isu ini, jika awda ingin mengubah permainan, awda tidak boleh bekerja dari luar sahaja,” katanya semasa ucaptama di New York pada persidangan mengenai masa depan yang ditaja oleh The Wall Street Journal. “Awak kena masuk ke dalam. Awda perlu mencari cara untuk mengubah industri makanan dan minuman itu sendiri.”

    “Jadi hari ini, saya berbesar hati untuk mengumumkan pelancaran sebuah syarikat yang bertujuan bukan sahaja menyediakan produk yang lebih baik, tetapi memulakan apa yang saya harap akan menjadi perlumbaan yang akan mengubah keseluruhan industri makanan,” katanya.

    Sebagai Wanita Pertama, Michelle berusaha melalui inisiatif Rumah Putih yang dipanggil ‘Let’s Move’ untuk meningkatkan kesihatan kanak-kanak AS dengan menggalakkan mereka terlibat dalam aktiviti fizikal dan makan makanan yang lebih sihat.

    Dia berusaha meningkatkan standard pemakanan persekutuan untuk makan tengah hari sekolah dan mendapatkan komitmen daripada syarikat makanan dan rangkaian restoran untuk mengurangkan kalori, garam, gula dan lemak trans dalam makanan mereka. – AP

    Michelle Obama bercakap semasa Festival Future of Everything di New York pada 3 Mei 2023. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda