LOS ANGELES, 31 Jan – Phil Mickelson beraksi di Arizona dan dia menyasarkan menjadi pemain pertama untuk menjuarai Terbuka Phoenix sebanyak empat kali di tempat sama setelah dia beraksi cemerlang sebagai pemain amatur.
Jelajah PGA singgah di Arizona minggu ini dan pemain berusia 48 tahun itu yang menghadiri majlis penyampaian biasiswa Univiersiti Arizona State akan membuat penampilan kali ke-30.
Dia memenangi gelaran ketiganya di Arizona pada edisi 2013 dengan kelebihan empat pukulan.
Mickelson ketika ini dilihat pada tahap prestasi terbaik selepas hampir menjuarai Desert Classic 10 hari lalu.
“Masa terlalu pantas berlalu. Sudah 30 tahun berlalu,” kata Mickelson. “Saya masih ingat ketika saya berada di kolej dan ia sepertinya tidak lama lalu saya membuat penampilan pertama dalam saingan Terbuka Phoenix.
“Ia pengalaman yang cukup hebat untuk saya dengan kehadiran penonton dan memori saya cipta sepanjang saya di sini. Ia tempat yang cukup istimewa.”
Ini adalah satu-satunya kejohanan jelajah di pantai barat yang tidak mengambil tempat di California.
Dalam tiga edisi terakhir, juara ditentukan menerusi pusingan playof dengan pemain Jepun, Hideki Matsuyama memenangi dua daripadanya. Juara bertahan kejohanan itu ialah Gary Woodland.
Penganjur meletakkan Mickelson, Matsuyama dan Woodland beraksi bersama dalam dua pusingan awal dengan masing-masing pernah merangkul gelaran juara termasuk tiga edisi terakhir. – AFP