Sunday, April 13, 2025
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Micro jigging beri cabaran buat pemancing

    Oleh Raz AS –

    Micro jigging adalah satu teknik memancing yang semakin popular dalam kalangan penggemar aktiviti memancing, terutamanya mereka yang ingin mencuba sesuatu yang lebih mencabar dan memerlukan kemahiran khusus.

    Teknik ini melibatkan penggunaan jig kecil yang dibaling ke dalam air dan kemudian ditarik dengan cara tertentu untuk menarik perhatian ikan.

    Konsep micro jigging ini berbeza dengan teknik jigging tradisional, kerana ia menggunakan jig lebih ringan dan kecil. Biasanya, jig yang digunakan dalam teknik ini mempunyai berat di antara 5 hingga 40 gram, bergantung pada kedalaman air dan jenis ikan sasaran.

    Dalam teknik micro jigging, pergerakan jig perlu terperinci dan berirama. Pemancing perlu mengawal tali pancing dengan baik dan melakukan variasi pergerakan jig, seperti gerakan menaik dan menurunkan jig secara berulang, untuk meniru pergerakan ikan kecil yang sedang mencari makanan, tercedera atau melarikan diri.

    Gerakan jig yang tidak menentu dan kelihatan natural ini mampu menarik perhatian ikan pemangsa yang berada di kedalaman tertentu. Salah satu aspek penting dalam micro jigging adalah kelajuan dan ketepatan dalam membuat gerakan jig.

    Biasanya, jig yang digunakan dalam teknik ini mempunyai berat di antara 5 hingga 40 gram. – GAMBAR OLEH RAZ AS
    Secara umumnya, teknik ini sesuai untuk menangkap ikan-ikan bersaiz kecil seperti kelapa-kelapa, kalakitok hinggalah ke saiz yang besar seperti ikan kerapu, tongkol, pelapahan dan tenggiri. – GAMBAR OLEH RAZ AS

    Pergerakan yang terlalu cepat atau terlalu lambat mungkin menyebabkan jig tidak menarik perhatian ikan, sementara pergerakan yang terlalu kasar pula mungkin membuatkan ikan takut.

    Untuk melaksanakan teknik micro jigging dengan berkesan, pemancing memerlukan peralatan yang sesuai. Antara peralatan utama yang diperlukan adalah joran dan reel yang ringan, serta tali pancing yang kuat tetapi nipis. Joran yang digunakan untuk micro jigging biasanya biasanya dalam lingkungan panjang 6 hingga 7 kaki.

    Ini membolehkan pemancing lebih mudah mengawal jig dan memberikan respons lebih tepat ketika menarik tali. Reel yang digunakan juga harus ringan dan memiliki sistem drag yang halus untuk mengelakkan tali terputus ketika menarik ikan.

    Selain itu, tali pancing yang digunakan dalam micro jigging biasanya tali sulam atau braided line yang lebih kuat dan tahan lama, tetapi dengan diameter yang kecil. Tali sulam ini membolehkan pemancing merasai setiap sentuhan atau gigitan ikan dengan lebih jelas.

    Jig itu sendiri adalah elemen penting dalam teknik ini. Jig yang digunakan dalam micro jigging biasanya diperbuat daripada logam dan direka dalam bentuk yang menyerupai ikan kecil atau invertebrata laut, dengan saiz dan reka bentuk yang berbeza mengikut jenis ikan sasaran dan berat mengikut tahap kedalaman air.

    Ikan sasaran dalam micro jigging berbeza-beza bergantung pada lokasi dan kedalaman tempat memancing.

    Secara umumnya, teknik ini sesuai untuk menangkap ikan-ikan bersaiz kecil seperti kelapa-kelapa, kalakitok hinggalah ke saiz yang besar seperti ikan kerapu, tongkol, pelapahan dan tenggiri.

    Ikan-ikan ini adalah pemangsa yang suka memburu mangsa kecil, dan oleh itu, jig yang digunakan dalam micro jigging dapat meniru pergerakan ikan kecil yang berada di sekitar kawasan mereka.

    Micro jigging juga memberi peluang kepada pemancing untuk menikmati pengalaman memancing yang lebih intensif.

    Teknik ini menuntut pemancing untuk sentiasa peka terhadap pergerakan jig di dalam air dan memberikan tumpuan penuh terhadap keadaan sekitar, di samping perlawanan hebat untuk menumbangkan ikan sasaran disebabkan peralatan ringan yang digunakan.

    Pemancing perlu memahami pelbagai faktor yang mempengaruhi keberkesanan teknik ini, terutama sekali kedalaman air, arus laut dan jenis dasar laut. Setiap faktor ini akan mempengaruhi bagaimana jig berfungsi dan sejauh mana ia dapat menarik perhatian ikan.

    Oleh itu, pemancing yang mahir dalam micro jigging biasanya mempunyai pengetahuan yang mendalam mengenai sifat-sifat ikan dan bagaimana cara terbaik untuk menyesuaikan teknik dengan keadaan semasa.

    Salah satu kelebihan utama teknik micro jigging adalah keupayaannya untuk menangkap ikan di pelbagai kedalaman dengan menggunakan jig yang ringan. Ini menjadikannya lebih berkesan berbanding teknik memancing tradisional yang sering bergantung pada umpan hidup atau mati.

    Dengan menggunakan jig yang sesuai, pemancing dapat menarik ikan dari kedalaman yang berbeza tanpa perlu menukar umpan. Selain itu, teknik ini juga menawarkan cabaran tersendiri kerana ia memerlukan ketepatan dalam setiap gerakan, pemahaman tentang tingkah laku ikan dan pertarungan yang mendebarkan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda