TOKYO, 18 MEI – Micron hari ini berkata ia akan melaburkan AS$3.6 bilion untuk penghasilan semikonduktor generasi seterusnya di Jepun, selepas Perdana Menteri Fumio Kishida mengadakan rundingan bersama beberapa pengeluar cip terbesar dunia.
Kishida berusaha untuk meningkatkan industri cip domestik, selepas kelemahan dalam rantaian bekalan semikonduktor global didedahkan oleh perkembangan termasuk pandemik dan perselisihan berterusan antara Amerika Syarikat (AS) dan China mengenai teknologi canggih.
Antara yang hadir semasa perjumpaan Kishida hari ini termasuk eksekutif-eksekutif kanan dari TSMC Taiwan, syarikat gergasi Korea Selatan, Samsung dan Intel, Micron serta IBM dari AS.
“Micron dijangka akan melaburkan sehingga AS$3.6 bilion dalam proses teknologi 1-gamma bagi tempoh beberapa tahun akan datang, dengan sokongan rapat daripada kerajaan Jepun,” menurut kenyataan syarikat itu, yang merujuk kepada penghasilan cip memori DRAM yang canggih.
Pelaburan itu, ‘akan membolehkan gelombang inovasi teknologi sepenuhnya seterusnya seperti aplikasi kecerdasan buatan (AI) generatif yang muncul dengan cepat’.

Micron menambah bahawa ia akan menjadi firma pertama untuk membawa pembuatan cip ultraungu ekstrem (EUV) ke Jepun.
Ia menyifatkan teknologi tersebut sebagai ‘proses pembuatan semikonduktor paling canggih di dunia’.
Tiada pengesahan segera jenis bantuan apa yang ditawarkan Jepun, meskipun Bloomberg News terdahulu melaporkan Kishida bakal memberikan insentif kepada Micron bernilai AS$1.5 bilion.
Jepun sudah bersetuju untuk melaburkan setengah bilion ke dalam projek baharu untuk membangunkan cip generasi seterusnya secara domestik.
Perjanjian itu melibatkan lapan buah syarikat besar termasuk Sony, SoftBank dan Toyota, yang bekerjasama dalam firma baharu dipanggil Rapidus yang dijangka akan memulakan penghasilan besar-besaran menjelang 2027. – AFP