WASHINGTON, 10 OGOS – Menggunakan geran dan pinjaman dalam undang-undang baharu yang ditandatangani Presiden Joe Biden semalam, firma semikonduktor Amerika Syarikat (AS) Micron mengumumkan rancangan untuk melabur AS$40 bilion dalam pengeluaran cip domestik menjelang akhir dekad ini.
Presiden dan CEO Micron, Sanjay Mehrotra, yang akan menyertai Biden di Rumah Putih untuk majlis menandatangani Akta CHIPS dan Sains, menggelar perundangan ‘satu langkah penting ke arah memperkukuhkan kedudukan semikonduktor AS untuk dekad-dekad akan datang.’
Kekurangan cip komputer global dalam beberapa bulan ini berpunca daripada masalah pengeluaran dan pengangkutan disebabkan pandemik telah menjejas aktiviti ekonomi.
Komponen berkenaan adalah penting untuk segala-galanya daripada telefon pintar kepada kereta dan teknologi 5G, serta sistem pertahanan.
Perundangan itu memperuntukkan puluhan bilion dalam pembiayaan untuk penyelidikan dan pembangunan, serta potongan cukai untuk menawarkan insentif pelaburan. Micron berkata ia menjangka memulakan pengeluaran pada separuh dekad pertama dan pelaburan itu ‘akan menjamin ketahanan rantaian bekalan dan keselamatan negara AS ketika permintaan cip meningkat.’
“Undang-undang ini membolehkan Micron mengembangkan pengeluaran cip memori domestik daripada kurang 2 peratus kepada 10 peratus daripada pasaran global dalam tempoh satu dekad akan datang, menjadikan AS pusat pengeluaran dan R&D cip paling moden di dunia,” kata Mehrotra. – AFP
