Monday, May 12, 2025
30.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Micron Technology labur RM1.5B – MITI

    KUALA LUMPUR, 30 Nov – Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) YB Datuk Darell Leiking semalam mengumumkan bahawa Micron Technology, Inc. berhasrat meningkatkan pelaburannya di Malaysia dengan penubuhan Pusat Kecemerlangan (Centre of Excellence) Solid-state Drive (SSD). Projek baru, yang termasuk menghasilkan pakej 3D advance storage and memory akan meningkatkan profil Malaysia sebagai lokasi pilihan untuk produk penyimpanan dan memori generasi akan datang.

    “Perkembangan Micron di Malaysia menyokong strategi kami untuk membina model kapasiti global yang berskala, tangkas dan mantap,” kata Naib Presiden Kanan Operasi Backend Micron Technology, Gursharan Singh. “Lokasi pelaburan baru di Pulau Pinang bagi pembuatan SSD akan meningkatkan kecemerlangan pusat NAND kami di Asia Tenggara, mengukuhkan kewujudan kami di Malaysia dan Singapura, di samping memastikan tumpuan berterusan kepada pelanggan perkhidmatan yang lebih baik dan menarik serta mengekalkan modal insan yang berkualiti tinggi.”

    Micron memilih Malaysia kerana berhampiran dengan Pusat Kecemerlangan NANDnya di Singapura, yang juga mempunyai pasukan yang kuat untuk membantu mempercepat dan menyokong pengeluaran kilang tersebut. Selepas mengenal pasti lokasi di Malaysia, kepimpinan Micron memilih bandar di Pulau Pinang.

    “Kemudahan Micron di Pulau Pinang akan mengukuhkan ekosistem elektrik dan elektronik (E & E) tempatan kerana ia akan berintegrasi dengan proses-proses terbaik dalam kelas automasi perkilangan SSD dan perkilangan Industri 4.0. Micron akan menjalankan aktiviti R&D dan merancang untuk bekerjasama dengan sekurang-kurangnya tiga hingga lima universiti tempatan. Ini akan menyumbang ke arah meningkatkan kemahiran modal insan di Malaysia melalui penggunaan teknologi baru, kemahiran industri dan pengetahuan profesional. Syarikat tempatan juga dapat memanfaatkan peluang untuk bekerjasama dengan Micron dalam bidang robotik, automasi, data besar dan kecerdasan buatan (AI),” kata Menteri YB MITI.

    Micron berkembang di peringkat global dan Malaysia merupakan pelaburannya yang terkini. Micron mengharapkan untuk memecah tanah pada separuh pertama 2019 dengan pengeluaran penuh dalam tempoh dua tahun.

    Syarikat itu menjangka akan berkembang di Pulau Pinang dengan pengambilan awal 1,000 pekerja dan melabur sebanyak RM1.5 bilion dalam tempoh lima tahun.

    Eksekutif dan Pemimpin Micron, Manish Bhatia, Naib Presiden Eksekutif Operasi Global Micron, Gursharan Singh, Naib Presiden Kanan Operasi Backend Global Micron, dan Amrinder Sidhu, Pengarah Undang-Undang Micron, Singapura, semalam bertemu dengan YB Datuk Darell Leiking, Menteri MITI dan Dato Azman, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di ibu pejabat MITI untuk membincangkan rancangan pembangunan mereka. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda