Friday, October 18, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Microsoft berhentikan 1,900 kakitangan

    NEW YORK, 26 JAN – Microsoft memberhentikan kira-kira 1,900 orang kakitangan di divisyen permainannya, menurut memo syarikat dalaman, lebih tiga bulan sejak syarikat teknologi itu menyelesaikan pembelian pembuat permainan video Activision Blizzard bernilai AS$69 bilion.

    Pemberhentian kerja itu mewakili pengurangan kira-kira 8 peratus daripada tenaga kerja permainan yang mempunyai 22,000 orang kakitangan dalam divisyen itu di Microsoft, menurut nota yang diperoleh oleh Associated Press, kelmarin.

    Mereka yang terjejas bekerja dalam pasukan Activision Blizzard dan Xbox serta ZeniMax, yang juga dimiliki oleh Microsoft.

    “Semasa kami bergerak ke hadapan pada 2024, kepimpinan Microsoft Gaming dan Activision Blizzard komited untuk menyelaraskan strategi dan pelan pelaksanaan dengan struktur kos mampan yang akan menyokong keseluruhan perniagaan kami yang semakin berkembang,” tulis Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft Gaming, Phil Spencer dalam memo itu.

    Microsoft tidak segera memberikan respons terhadap permintaan untuk komen dari The Associated Press.

    Presiden Blizzard, Mike Ybarra kelmarin turut mengumumkan dia akan meninggalkan syarikat itu dalam jawatan di X, platform yang sebelum ini dikenali sebagai Twitter.

    “Ia adalah hari yang sangat sukar. Tenaga dan sokongan saya diberikan kepada semua individu yang luar biasa yang terjejas, ia sama sekali tidak mencerminkan kerja awda yang cemerlang”, tulis Ybarra sambil menambah waktunya memimpin Blizzard ‘adalah satu penghormatan besar’. – AP

    Logo Microsoft yang dapat dilihat di Issy-les-Moulineaux, di luar Paris, pada 12 April 2016. Microsoft memberhentikan kira-kira 1,900 orang kakitangan di divisyen permainannya.- AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda