PARIS, 10 FEB – Syarikat raksasa teknologi Amerika Syarikat (AS), Microsoft, mengumumkan kelmarin bahawa ia akan membuka sebuah yayasan untuk mempromosikan kecerdasan buatan (AI) yang ‘bertanggungjawab’ di ibu negara Emiriah Arab Bersatu (UAE), Abu Dhabi.
Langkah itu “bertujuan untuk mempromosikan piawaian dan amalan terbaik AI yang bertanggungjawab di Timur Tengah dan Global South,” kata Microsoft menjelang Sidang Kemuncak AI di Paris minggu ini.
Pemaju AI Emirati, G42 dan Universiti Kecerdasan Buatan Mohamed bin Zayed (MBZUAI) akan bekerjasama dalam projek itu, tambah syarikat AS tersebut.
Microsoft turut mengumumkan pada April 2024 bahawa ia akan melabur sebanyak AS$1.5 bilion ke dalam G42, yang dikawal oleh Tahnoon bin Zayed, saudara kepada Presiden UAE dan Penasihat Keselamatan Negara negara tersebut.
Sementara itu, MBZUAI turut terlibat dalam beberapa inisiatif yang dilancarkan semasa Sidang Kemuncak AI Paris, yang akan menyatukan pemimpin politik, tokoh industri teknologi dan pakar-pakar hari ini dan esok di ibu kota Perancis.
UAE sedang berusaha untuk memainkan peranan utama dalam kemunculan AI dengan pelbagai kerjasama termasuk di Perancis.
Sekolah Polytechnique Paris telah mengumumkan kerjasama penyelidikan dengan MBZUAI, sementara pemimpin Emiriah Mohamed bin Zayed Al Nahyan minggu ini menandatangani perjanjian dengan rakan sejawatnya dari Perancis, Emmanuel Macron, untuk membina kampus dan pusat data AI yang luas di Perancis bernilai sehingga AS$50 bilion. – AFP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/02/P10-3CWEB-AFP_11022025.jpg)