DUBAI, 1 Mei – Kerajaan Dubai semalam mengumumkan pelancaran ‘Dubai Font’, muka taip pertama yang dihasilkan oleh Microsoft untuk sebuah bandar, yang boleh diperoleh dalam 23 bahasa.
Fon itu dihasilkan serentak dalam skrip Latin dan Arab dan boleh diperoleh oleh 100 juta pengguna Office 365 di seluruh dunia.
Putera Mahkota Dubai Hamdan bin Mohammed al-Maktoum telah menggesa semua institusi kerajaan supaya menggunakan fon berkenaan dalam surat-menyurat rasmi.
Majlis Eksekutif Dubai, yang mengurus hal ehwal negara kota dan diketuai oleh Putera Hamdan, berkata fon itu melambangkan wawasan Emiriah Arab Bersatu “untuk menjadi pemimpin serantau dan global dalam pembaharuan.”
“Ia adalah fon pertama yang dihasilkan oleh sebuah bandar dan membawa namanya,” beritahu setiausaha agung Majlis Eksekutif Abdulla al-Shaiban pada sidang media.

Dubai yang menempatkan menara tertinggi dunia dan gedung membeli-belah terbesar di Timur Tengah, telah berusaha dalam beberapa tahun ini untuk meluaskan tarikannya dengan melabur dalam teknologi dan kebudayaan.
Emiriah itu juga berhasrat muncul sebagai bandar paling gembira di dunia, dan pada tahun lalu melantik seorang menteri kebahagiaan.
Pada tahun 2016, kira-kira 14.9 juta pelancong melawat Dubai, yang paling liberal daripada tujuh amiriah UAE dan paling kurang bergantung pada pendapatan minyak.
Dubai akan menganjur Ekspo 2020 selama enam bulan di bawah tema kemampanan dan mobiliti. – AFP