Sabtu, 22 November 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Microsoft janji lindungi data warga Eropah di tengah ketegangan geopolitik

    BRUSSELS – Microsoft berikrar untuk memperkukuh kehadirannya di Eropah serta melindungi data warganya, di tengah peningkatan ketegangan geopolitik global.

    Komitmen itu hadir ketika hubungan antara Amerika Syarikat (AS) dan Eropah tergugat berikutan kembalinya Donald Trump sebagai Presiden AS, yang mencabar dasar lama antara kedua blok tersebut. Trump juga tidak senang dengan peraturan Kesatuan Eropah terhadap syarikat gergasi teknologi AS seperti Microsoft dan mengancam tindakan balas.

    Namun, Presiden Microsoft, Brad Smith, memberikan nada optimis ketika berada di Brussels. “Kita berada pada saat di mana perniagaan perlu menjadi jambatan merentas Atlantik,” katanya.

    Microsoft merancang untuk mengembangkan operasi pusat datanya di 16 negara Eropah dan membantu membina ekosistem kecerdasan buatan (AI) di benua itu. Ia juga mahu menjalin kerjasama dengan syarikat pengendali awan Eropah – pasaran yang kini dikuasai oleh firma AS seperti Amazon, Google dan Microsoft sendiri.

    Ketergantungan Eropah terhadap teknologi AS menjadi isu selepas ancaman Trump untuk mengenakan tarif, mengambil alih Greenland, serta memotong bantuan kepada Ukraine.

    Terdapat kebimbangan bahawa Washington boleh menggunakan dominasi teknologinya sebagai senjata dalam sebarang konflik dengan Brussels.

    Smith menyentuh kemungkinan ini dalam satu catatan blog, menyatakan bahawa senario sebegitu tidak mungkin berlaku, namun beliau menegaskan bahawa jika Microsoft diperintah untuk menghentikan operasi awannya di Eropah, syarikat itu akan mencabar arahan itu di mahkamah.

    “Kami komited bahawa jika mana-mana kerajaan di dunia mengarahkan Microsoft untuk menggantung atau menamatkan operasi di Eropah melalui pusat data kami di sini, kami akan mencabar arahan itu secara tegas dan segera,” katanya di Brussels.

    “Kami faham ia adalah kebimbangan nyata bagi rakyat Eropah,” tambahnya. – AFP

    Naib Pengerusi dan Presiden Microsoft, Brad Smith, menyampaikan ucapan semasa sesi bertajuk ‘Ketahanan Digital dalam Era Ketidakstabilan Geopolitik’ di Majlis Atlantik, Brussels pada 30 April. – AFP
    Logo Microsoft dipaparkan pada skrin semasa ucapan oleh naib pengerusi dan presiden Microsoft bertajuk ‘Ketahanan Digital dalam Era Ketidakstabilan Geopolitik’ di Majlis Atlantik, Brussels pada 30 April. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda