ABU DHABI, 4 NOV – Gergasi teknologi Amerika Syarikat (AS), Microsoft kelmarin mengumumkan pelaburan bernilai AS$15.2 bilion dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran awan di Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Naib pengerusi dan presiden Microsoft, Brad Smith berkata syarikat itu telah melabur AS$7.3 bilion di negara Teluk tersebut sejak 2023 dan akan membelanjakan tambahan AS$7.9 bilion menjelang akhir 2029.
Pengumuman itu turut melonjakkan saham syarikat pembuat cip AS, Nvidia sebanyak 2.6 peratus, disokong harapan bahawa gergasi AI itu akan mendapat akses lebih luas untuk cip tercanggihnya di lebih banyak pasaran.
“Ini bukan dana yang dikumpul di UAE. Ini adalah wang yang kami belanjakan di UAE,” tulis Smith dalam satu catatan blog sempena lawatannya ke Abu Dhabi.
Menurutnya, pelaburan tersebut mendapat galakan daripada kerajaan AS dan UAE, serta melibatkan kerjasama dengan syarikat kecerdasan buatan negara itu, G42.

Sekitar dua pertiga daripada jumlah perbelanjaan tersebut akan digunakan untuk membina pusat data AI dan awan di UAE, manakala selebihnya bagi kos operasi tempatan.
Dalam catatan blog itu, Smith turut menyatakan bahawa Microsoft merupakan syarikat pertama yang menerima lesen eksport daripada pentadbiran Presiden Donald Trump untuk membekalkan cip GPU kepada UAE.
Dalam beberapa kes, Washington mengehadkan akses antarabangsa kepada pemproses paling canggih industri AS yang mampu menjalankan model AI terkini.
UAE merupakan sekutu rapat AS dan destinasi pelaburan popular, namun Washington tetap berhati-hati bagi memastikan cip tercanggih tidak terlepas daripada kawalan eksport dan jatuh ke tangan pesaing seperti China.
Microsoft memuji “usaha besar yang dilakukan untuk memenuhi keperluan keselamatan siber, keselamatan negara dan syarat teknologi lain yang ditetapkan bagi lesen tersebut.”
Lesen baharu yang dikemas kini pada September membenarkan syarikat itu “menghantar setara dengan 60,400 cip A100 tambahan…termasuk GPU GB300 Nvidia yang lebih maju.”
“Kami menggunakan GPU ini untuk menyediakan akses kepada model AI canggih daripada OpenAI, Anthropic, penyedia sumber terbuka dan Microsoft sendiri,” kata Smith. – AFP

