SAN FRANCISCO, 29 OKT – Microsoft dan OpenAI kelmarin mengumumkan penyusunan semula besar-besaran terhadap perkongsian kecerdasan buatan (AI) mereka, yang bertujuan memberi kebebasan lebih luas kepada kedua-dua syarikat sambil mengekalkan kerjasama erat.
Menurut kenyataan dalam laman blog rasmi OpenAI, Microsoft kini memegang kira-kira 27 peratus kepentingan dalam struktur baharu OpenAI, pelaburan yang dianggarkan bernilai AS$135 bilion, selaras dengan langkah OpenAI menukar statusnya kepada syarikat berfaedah awam.
Sebagai sebahagian daripada perjanjian tersebut, OpenAI turut komited membeli perkhidmatan awan Azure bernilai AS$250 bilion dari Microsoft, namun gergasi teknologi itu tidak lagi mempunyai hak keutamaan pertama sebagai penyedia perkhidmatan pengkomputeran OpenAI.
Perjanjian itu juga melanjutkan hak harta intelek Microsoft ke atas model dan produk OpenAI sehingga tahun 2032.
Menurut kedua-dua pihak, pihak berkuasa kawal selia telah meluluskan susunan baharu itu.
Microsoft merupakan pelabur utama dalam OpenAI sejak permulaan ledakan teknologi AI generatif yang kini menjadi tumpuan industri teknologi global.
Bagaimanapun, di bawah pimpinan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Sam Altman, OpenAI kini giat memperluas kerjasama dengan pelbagai syarikat lain, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada perjanjian asalnya dengan Microsoft masih relevan.
Perkongsian strategik itu bermula pada 2019 apabila Microsoft melabur AS$1 bilion dalam organisasi penyelidikan AI kecil yang ditubuhkan pada 2015 oleh tokoh terkenal teknologi termasuk Elon Musk. – AFP


