SAN FRANCISCO, 4 MEI – Microsoft hari ini memperluaskan akses awam kepada program kecerdasan buatan (AI) generatifnya, walaupun terdapat kebimbangan firma teknologi terlalu tergesa-gesa menerapkan teknologi yang berpotensi berbahaya.
Ciri-ciri AI yang dipertingkatkan bagi enjin carian Bing syarikat dan pelayar internet Edge kini dibukakan untuk digunakan oleh sesiapa sahaja, kata Yusuf Mehdi, naib presiden korporat, dalam catatan blog.
“Ini bermakna, ia akan menjadi lebih mudah berbanding sebelum ini untuk semua orang mencuba Bing dan Edge baharu dengan hanya melog masuk ke Bing dengan akaun Microsoft awda,” kata Mehdi.
Perkhidmatan itu telah dipertingkatkan dengan keupayaan untuk bekerja dengan imej serta teks dan Microsoft berhasrat untuk menambah video pada gabungan itu, menurut eksekutif itu.
‘Pencipta Imej’ Bing baru-baru ini telah disepadukan ke dalam himpunan AI chatbot, membolehkannya menjana kandungan visual dan bertulis, kata Mehdi.

“Kami sedang mengembangkan Image Creator kepada semua bahasa dalam Bing,” tambahnya.
“Jadi sekarang awda boleh mencipta imej dalam bahasa ibunda awda.”
Risiko daripada AI termasuk potensi penggunaannya untuk penipuan dengan klon suara, video palsu dan mesej bertulis yang meyakinkan.
Pelbagai pakar pada bulan Mac menggesa menangguhkan seketika dalam pembangunan sistem AI yang berkuasa untuk memberi masa bagi memastikan ia selamat.
Surat terbuka mereka, yang ditandatangani oleh lebih 1,000 orang, termasuk jutawan Elon Musk dan pengasas bersama Apple Steve Wozniak, didorong oleh teknologi AI generatif daripada firma yang disokong Microsoft OpenAI.
“Sistem AI dengan kecerdasan daya saing manusia boleh menimbulkan risiko besar kepada masyarakat dan manusia,” menurut surat itu.
“Sistem AI yang berkuasa harus dibangunkan hanya apabila kami yakin bahawa kesannya akan positif dan risikonya akan terurus,” katanya.
Seorang saintis komputer terkenal yang sering digelar ‘bapa AI’ baru-baru ini meletak jawatannya di Google untuk bersuara tentang bahaya teknologi.
Geoffrey Hinton berkata semasa forum MIT kelmarin bahawa adalah masuk akal untuk menghentikan pembangunan AI.
Tetapi beliau menambah idea itu adalah naif memandangkan persaingan sengit antara negara dan syarikat yang terlibat dalam sektor itu.
Hinton, yang mencipta beberapa teknologi yang mendasari sistem AI, mengekalkan ancaman wujud daripada AI adalah ‘serius dan sulit’. – AFP

