WASHINGTON, 26 SEPT – Microsoft berkata kelmarin ia telah menyekat perkhidmatan terhadap satu unit dalam tentera Israel selepas kajian syarikat telah menentukan kecerdasan buatan (AI) dan produk pengkomputeran awannya digunakan untuk membantu menjalankan pengawasan besar-besaran ke atas rakyat Palestin.
Tindakan itu dibuat selepas The Associated Press dan The Guardian menerbitkan laporan awal tahun ini mendedahkan bagaimana Kementerian Pertahanan Israel telah menggunakan platform Azure Microsoft untuk membantu dalam peperangan di Gaza dan pendudukan Tebing Barat. Naib pengerusi dan presiden Microsoft, Brad Smith, menulis dalam catatan blog bahawa syarikat itu sedang mengambil langkah untuk menguatkuasakan pematuhan terhadap syarat perkhidmatannya.
Siasatan AP pada Februari lalu menunjukkan penggunaan produk Microsoft oleh tentera Israel meningkat pesat selepas serangan mengejut maut oleh kumpulan Hamas pada 7 Oktober 2023. Laporan AP memetik data dalaman Microsoft yang menunjukkan tentera Israel menggunakan penyimpanan awan gigabait dan sejumlah besar perkhidmatan terjemahan bahasa yang didayakan AI.
AP juga melaporkan bahawa tentera Israel menggunakan Microsoft Azure untuk menyusun maklumat yang dikumpul melalui pengawasan besar-besaran, yang di transkripsi dan diterjemahkan, termasuk panggilan telefon dan mesej teks. Perisikan itu kemudiannya dikaji silang dengan sistem AI dalaman Israel untuk menyasarkan serangan udara.
AP melaporkan bahawa data dalaman Microsoft menunjukkan berbilang langganan Azure terikat dengan Unit 8200, unit perang siber elit dalam Tentera Israel yang bertanggungjawab untuk operasi rahsia, mengumpul risikan isyarat dan pengawasan. – AP


