Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Microsoft tingkat usaha keselamatan siber dengan bantuan AI di Eropah

    PARIS, 4 JUN – Gergasi teknologi dari Amerika Syarikat, Microsoft, hari ini mengumumkan bahawa ia akan memperhebat kerjasama dengan kerajaan-kerajaan di Eropah dalam menangani ancaman siber, termasuk melalui penggunaan kecerdasan buatan (AI) bagi pengumpulan risikan digital.

    Program baharu yang dinamakan Program Keselamatan Eropah meletakkan AI sebagai tunjang utama dalam memperkukuh keselamatan siber, kata Naib Pengerusi Microsoft, Brad Smith, menerusi catatan blog rasmi.

    “Inisiatif ini akan membolehkan penyampaian maklumat ancaman siber secara masa nyata kepada kerajaan,” katanya, sambil menambah bahawa ia akan merangkumi 27 negara anggota Kesatuan Eropah (EU), negara-negara yang dalam proses menyertai EU, anggota Persatuan Perdagangan Bebas Eropah (EFTA), serta United Kingdom, Monaco dan Vatican.

    Smith turut menuduh beberapa negara termasuk Rusia, China, Iran dan Korea Utara terlibat dalam pencerobohan rangkaian komputer Eropah bagi tujuan pengintipan dan aktiviti berniat jahat yang lain.

    Dalam masa sama, kumpulan penjenayah siber juga dilihat meningkatkan serangan mereka menggunakan kaedah seperti perisian tebusan, yang menyulitkan data mangsa dan menuntut bayaran untuk mengakses semula sistem tersebut. – AFP

    Brad Smith menyampaikan ucapan di Majlis Atlantik, di Brussels pada 30 April lalu. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda