Oleh Syahmi Hassan
Gambar oleh Bahyiah Bakir
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 JULAI – Sekolah Antarabangsa Islam Miftah An Nur, malam tadi, telah mengadakan Konsert Akhir Tahun dan Majlis Tamat Pengajian 2021 yang berlangsung di Dewan Persidangan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas.
Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah berkenan berangkat ke acara berkenaan.
Mengiringi keberangkatan Yang Teramat Mulia ialah Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji Muhammad Ruzaini.
Majlis telah dimulakan dengan bacaan doa oleh guru sekolah berkenaan, Ade Al-Faisal diikuti dengan bacaan ayat-ayat Al-Quran oleh pelajar sekolah rendah dan ucapan alu-aluan oleh YAM Pengiran Anak Haji Muhammad Ruzaini selaku penaung Miftah An Nur yang antara lain mengumumkan mengenai rancangan masa depan dalam perancangan bagi Miftah An Nur.
Perancangan paling penting adalah menjadi sekolah antarabangsa Islam pertama yang akan menawarkan program dari KG1 hingga ke peringkat menengah.
Miftah An Nur juga telah membentuk lembaga pengarah baharu yang terdiri daripada ahli-ahli daripada pelbagai latar belakang bagi menerajui sekolah yang bergerak maju dan melantik seorang pengetua eksekutif yang akan membimbing hala tuju sekolah.
Pengetua eksekutif berkenaan, Bilal Buttar akan menyertai Miftah An Nur pada Januari tahun depan dengan membawa pengalaman kepimpinan antarabangsa dan pendidikan yang luas.
“Kami yakin bahawa beliau akan membawa Miftah An Nur ke peringkat yang lebih tinggi dalam kedua-dua nilai akademik dan keislamannya,” tambah Yang Amat Mulia.
Sekolah tersebut, setelah konsultasi dan kajian semula, telah memutuskan untuk mengikuti kurikulum Inggeris sementara masih meletakkan Islam sebagai teras pengajarannya kerana mereka sangat percaya bahawa ia akan menjadikan pelajar mereka cemerlang akademik dan kurikulum baharu itu akan mula berkuat kuasa pada September depan.
Pengumuman paling menarik adalah sekolah tersebut telah memulakan projek bangunan baharu di mana syarikat arkitek terkemuka telah dilantik dan tidak lama lagi akan mula membina sekolah seni yang akan merangkumi blok sekolah rendah dan menengah, surau, kolam renang, dewan serba guna dan perpustakaan yang berkualiti tinggi.
Yang Amat Mulia menambah bahawa sekolah baharu itu akan dibina di atas tanah seluas lima ekar dan dijangka siap pada 2023.
Majlis tersebut menyaksikan persembahan pentas yang berwarna-warni dan menghiburkan oleh murid-murid Tadika dan pelajar sekolah rendah sebelum diakhiri dengan penyampaian sijil kepada graduan-graduan yang disempurnakan oleh Pengetua, Awang Noorhaizamdin bin Haji Mosbi.