Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MAC – Sebanyak $24,396.64 hasil kutipan dari Sekolah Antarabangsa Islam Miftah An-Nur untuk Tabung Kemanusiaan Gempa Bumi Republik Turkiye dan Republik Arab Syria telah diserahkan kepada Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), hari ini.
Hadir menerima sumbangan pada majlis penyerahan yang berlangsung di Bangunan KKBS itu ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.
Sumbangan telah disampaikan oleh Pengetua Eksekutif Sekolah Antarabangsa Islam Miftah An-Nur, Bilal Buttar, dan wakil-wakil pelajar Tahun 5 dan 6, Dayang Eliza Zahra binti Haji Mohd Nizam, Aesha Ahmad Mostafa dan Ulfat Doha Mohammad Mahmudul Kabir.
Sumbangan yang dikumpulkan itu adalah hasil kutipan daripada para pelajar sekolah tersebut pada 10 hingga 15 Februari lalu dalam sama-sama membantu mangsa bencana di samping memupuk nilai teras sekolah iaitu Service To Allah, To Each Other And To All Who We Cross Paths dalam kalangan penuntut.
Tabung Kemanusiaan Gempa Bumi Republik Turkiye dan Republik Arab Syria telah dibukakan kepada orang ramai selama tiga bulan bermula 14 Februari hingga 14 Mei.
Tabung berkenaan merupakan sebuah platform yang disediakan oleh pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk memberi peluang kepada orang ramai untuk menyumbangkan derma berbentuk kewangan secara langsung dan telus.
Ia juga bagi membolehkan pelbagai pihak untuk menganjurkan aktiviti-aktiviti amal dan berkebajikan bagi meringankan beban penderitaan yang ditanggung oleh rakyat Republik Turkiye dan Republik Arab Syria yang dilanda bencana alam gempa bumi pada 6 Februari lalu.
Turut hadir bagi menyaksikan penyerahan derma tersebut ialah Pemangku Pengarah Jabatan Pembangunan Masyarakat, Dayang Mirany Floridzah binti Abdul Rahman.
