Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 JAN – Majlis Pelajar Sekolah Miftah An-Nur hari ini telah menyerahkan sumbangan cek berjumlah $583.20 hasil daripada kejayaan Term 1 Bake Sale kepada Tabung Kemanusiaan untuk Rakyat Palestin di Gaza 2023 bertempat di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) di bawah Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM).
Penyampaian cek itu disempurnakan oleh Ketua Sekolah Rendah dan Pendidikan Awal, Sekolah Miftah An-Nur, Lena Khatun bersama 12 orang wakil daripada Majlis Pelajar Sekolah Miftah An-Nur dari Tahun 1 hingga 8.
Usaha amal berkenaan mencerminkan komitmen kolektif seluruh komuniti sekolah terhadap solidariti global dan sokongan kepada mereka yang memerlukan.
Bake Sale, yang diadakan sebagai sebahagian daripada inisiatif sekolah berkenaan untuk mempromosikan sikap memberi atau berbagi rezeki dalam komuniti, mempamerkan dedikasi pemimpin muda untuk menyokong tujuan yang bermakna.
Dalam ucapan alu-aluan, Pengurus Pemasaran & IT, Awang Mohd Yamin bin Abdul Hamid menekankan kepentingan menyemai kebaikan yang boleh diamalkan dalam kalangan pelajar.
Jelasnya, ia bermatlamat untuk menerapkan bukan sahaja nilai kebaikan di sekolah, tetapi kepentingan mengambil tindakan untuk membuat perubahan. Melalui usaha mereka dalam menganjurkan Bake Sale, para pelajar mengumpul jumlah yang, walaupun sederhana, namun yang penting dedikasi dan niat murni mereka.
Mewakili KKBS, Timbalan Pengarah JAPEM, Dayang Fauziah binti Haji Mohd Salleh, memuji usaha pelajar dalam ucapannya.
Miftah An-Nur benar-benar menjiwai dan menanamkan dalam diri anak-anak kepentingan bertindak. Beliau turut menambah, ia menandakan penganjuran pertama sekolah membuat sumbangan tahun ini dan inisiatif kedua daripada Miftah An-Nur.
Semasa acara itu, para pelajar turut berpeluang berkongsi pengalaman mereka, seterusnya menekankan komitmen mereka terhadap usaha kemanusiaan dan memberi inspirasi kepada orang lain dalam masyarakat.