Juri tetap program Talk To My Manager (TTMM), Datuk AC Mizal akui tidak terasa hati apabila mikrofonnya dibisukan (mute) atas permintaan ibu kepada dua peserta iaitu Ina Naim dan Sharifah Zarina.
Menurut AC atau nama sebenarnya Mizal Zaini, 54, perkara tersebut merupakan sebahagian daripada format TTMM dan beliau harus akur dengan isu itu.
“Saya tidak terasa dengan mereka. Inilah permainan program ini. Mungkin saya akan tinggalkan saja kumpulan WhatsApp itu,” katanya berseloroh ketika ditemui Kosmo, sejurus tamat konsert minggu ketiga, malam tadi.
Ina Naim menjadi manager pertama yang berani ‘mute’ mikrofon pengkritik. Kemudian diikuti dengan Sharifah Zarina yang sebelum ini mendapat kritikan pedas daripada AC selama dua minggu berturut-turut.
Diminta untuk mengulas tentang persembahan dua anak selebriti tersebut, kata AC minggu ini sebenarnya dia ingin memberikan pujian kerana kedua-dua peserta menunjukkan peningkatan.

“Anak Ina Naim (Hadie) menunjukkan perbezaan yang nyata daripada persembahan sebelum ini.
“Saya nak cakap saya sebenarnya peminat kumpulan Masdo. Suara Hadie memang kena dengan genre begini (Pop 60an).
“Anak Sharifah Zarina (Athalia) juga menunjukkan perubahan yang sangat nyata. Mungkin rock adalah genre dia,” jelasnya.
Pada konsert minggu ketiga yang bertemakan rebranding, Hadie menyampaikan lagu Oh Fatimah dedangan asal A. Ramlie, manakala Athalia pula mendendangkan lagu Akan Ku Tunggu daripada kumpulan Candy.
Malangnya kedua-dua peserta itu mendapat markah tercorot dan kemudian hos iaitu Datuk Aznil Haji Nawawi mengumumkan Hadie dan Ina Naim menjadi peserta pertama yang tersingkir. – Agensi

