Saturday, January 4, 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Milan kuatkuasakan larangan merokok di luar

    MILAN, 1 JAN – Perokok di bandar Itali yang terkenal, Milan, bakal didenda sekiranya merokok di jalanan atau kawasan awam yang sesak, selepas larangan paling keras di negara itu berkuat kuasa hari ini.

    Mereka yang mengingkari larangan baharu di bandar Itali utara yang tercemar itu boleh didenda antara AS$41 hingga AS$249, satu hukuman yang tidak sesuai dengan semua penduduk.

    “Undang-undang baharu itu adalah keterlaluan pada pendapat saya. Saya bersetuju untuk tidak merokok di dalam rumah, tidak merokok berhampiran orang tua atau kanak-kanak, tetapi melarang merokok di luar bagi saya boleh mengehadkan kebebasan seseorang,” kata tukang paip tempatan Morgan Ishak, 46, kepada AFP menjelang larangan itu.

    Ordinan kualiti udara Milan, yang diluluskan pada 2020 oleh majlis bandar raya, menggesa larangan merokok yang semakin ketat.

    Larangan merokok di taman dan taman permainan serta perhentian bas dan kemudahan sukan telah pun dikuatkuasakan pada 2021.

    Larangan merokok terbaharu, berkuat kuasa hari ini, 1 Januari terpakai kepada, “semua ruang awam, termasuk jalan-jalan”, kecuali “tempat terpencil yang boleh mengekalkan jarak sekurang-kurangnya 10 meter dari orang lain”, menurut teks itu.

    Pegawai tempatan berkata langkah itu bertujuan mengurangkan asap di udara untuk, “meningkatkan kualiti udara bandar, melindungi kesihatan rakyat termasuk perlindungan daripada perokok pasif di tempat awam yang juga sering dikunjungi kanak-kanak”, menurut satu kenyataan.

    Stellina Lombardo, 56, seorang bukan perokok, berkata dia menyokong larangan merokok yang lebih keras.

    “Saya sangat bersetuju kerana merokok bertanggungjawab terhadap banyak pencemaran, dalam era ini apabila kita banyak mengalami perubahan iklim, langkah sedemikian boleh membantu mengurangkan kesan pencemaran yang memusnahkan planet ini,” katanya.

    Namun, larangan berkenaan, yang datang menjelang Sukan Olimpik Musim Sejuk Milan-Cortina 2026, tidak terpakai kepada e-rokok.

    Terletak di tengah-tengah Lembah Po industri dan sesak dengan lalu lintas jalan raya, Milan ialah salah satu bandar paling tercemar di Eropah dari segi udara.

    Di Eropah, perokok paling sedikit ditemui di Sweden, dengan hanya 8 peratus daripada populasi adalah perokok manakala Bulgaria adalah paling ramai perokok iaitu 37 peratus daripada populasi. – AFP

    Caption: Merokok di jalanan Milan bakal didenda. – Gambar Unsplash
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda