MILAN, 13 APRIL – Stefano Pioli hari ini berkata AC Milan sepatutnya memberikan diri mereka lebih daripada satu gol dalam perlawanan suku akhir Liga Juara-juara menentang Napoli yang bermain dengan 10 orang.
Milan mempunyai 15 minit untuk melanjutkan kelebihan mereka yang diperoleh daripada jaringan Ismael Bennacer pada separuh masa pertama apabila Andre-Frank Zambo Anguissa dilayangkan kad merah selepas menerima dua kad kuning.
“Ia satu-satunya penyesalan yang kami ada,” kata Pioli kepada pemberita.
“Memang memalukan namun mereka mempamerkan prestasi yang bagus. Ia keputusan yang baik selepas persembahan yang baik, mari kita berharap untuk yang seterusnya.”
Milan kini perlu mempertahankan pendahuluan tipis di Stadio Maradona di Naples, dengan prospek pertembungan separuh akhir dengan seteru tempatan, Inter selepas mereka menang mudah di Benfica kelmarin.
“Ia akan menjadi perlawanan yang sukar, Napoli adalah pasukan yang bagus dan berkualiti tinggi, pasukan yang sehingga kini telah menjaringkan gol terbanyak dalam Liga Juara-juara,” tambah Pioli.
“Kami mempunyai banyak detik sukar malam ini. Kami menjangkakan Napoli akan menyerang kami dan perlu memberikan segala-galanya di atas padang. Kami tidak akan tersilap langkah. Tiada siapa di sini menyangka kami sudah menang.” – AFP


