BANDAR SERI BEGAWAN, 26 MEI – Mahkamah Majistret hari ini menjatuhkan hukuman denda $27,860 kepada seorang lelaki warga Bangladesh berusia 41 tahun selepas dia mengaku bersalah memiliki rokok seludup dan minuman keras.
Jika gagal membayar denda tersebut, Md Deluar Hossain terpaksa menjalani hukuman penjara 18 bulan.
Majistret Abdul ‘Azim bin Othman mendengarkan bahawa defendan telah diberkas oleh pegawai pencegahan kastam dari Unit Operasi Daerah Brunei dan Muara di bawah Bahagian Komersial dan Penguatkuasaan Undang-undang semasa serbuan di sebuah kuarters pekerja di Kampung Sengkurong, Jalan Jerudong, pada 13 Mei kira-kira jam 8:15 malam.
Pertuduhan pertama terhadap defendan menyatakan dia secara tidak sah memiliki 21 karton, 26 paket dan 19 batang pelbagai jenis rokok. Manakala pertuduhan kedua menyatakan dia memiliki 36 tin pelbagai jenis minuman keras secara haram.
Kesemua barangan seludup dan wang tunai berjumlah $1,188 dipercayai hasil jualan barangan terlarang itu diarah untuk dilucuthakkan ke kerajaan untuk tindakan lanjut.
