Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Feb – Seorang anggota bomba dijatuhi hukuman denda $3,300 oleh Mahkamah Majistret, hari ini, atas pertuduhan memiliki dan mengimport alat penyiaran berupa set Astro dan juga memiliki rokok seludup.
Mohammad Hazizan @ Mohammad Quadim bin Haji Mazin, 29, mengaku bersalah kerana memiliki dua set Astro dan dua unit receiver serta aksesori Astro tanpa cukai dan mengimport Astro itu tanpa memiliki lesen yang sah pada 20 Ogos 2015 ketika ditahan di Pos Kawalan Kuala Lurah.
Dia juga mengaku salah atas tuduhan memiliki satu karton dan lapan paket rokok seludup pada tarikh dan tempat yang sama sekitar jam 2:08 petang.
Kesemua barangan itu ditemui disembunyikan secara berasingan di beberapa bahagian kereta yang dipandunya.
Majistret Kanan Pengiran Masni binti Pengiran Haji Bahar memberi tempoh sehingga 31 Mac ini untuk defendan membayar denda itu dan jika gagal akan berdepan hukuman tiga bulan penjara.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Nor’ Adliatul Hidayah binti Haji Mohd Zaidi.